Dengan berlangsungnya mesyuarat Pemuda Umno Tanah Merah Jumaat lalu, sepatutnya kesemua bahagian pergerakan tersebut sudah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

Bagaimanapun, nampaknya krisis dalaman pergerakan tersebut sehingga membawa kepada penangguhan mesyuarat Pemuda bahagian ditangguhkan hingga Jumaat lalu, belum lagi berakhir

Ini kerana ada pihak dalam pergerakan tersebut mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses pengundian untuk memilih barisan kepimpinannya.

Sumber-sumber yang rapat dengan Umno bahagian tersebut, mendakwa dalam pemilihan tersebut, 17 tin biskut telah digunakan sebagai peti undi untuk mengumpul undi para perwakilan.

Sepatutnya, kata beliau, peti-peti undi yang disediakan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri digunakan untuk tujuan tersebut tetapi ianya digantikan dengan tin biskut.

Laporan

"Dalam proses pemilihan kepimpinan Wanita, Puteri dan Umno bahagian, peti-peti undi yang disediakan oleh badan perhubungan telah digunakan sepertimana yang diarahkan," katanya.

Sehubungan itu, kata sumber-sumber tersebut, satu laporan rasmi akan dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan esok mengenai perkara tersebut.

Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Hashim Safin ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada laporan polis akan dibuat mengenai perkara itu, beliau berkata pihaknya akan menyerahkan perkara itu untuk diselesaikan oleh badan perhubungan negeri terlebih dahulu.

Dalam mesyuarat bahagian Sabtu lalu, Hashim telah dipilih semua tanpa bertanding selepas pencabarnya, Ikmal Hisham Aziz ( gambar ), telah dikenakan tindakan gantung keahlian selama tiga tahun, kerana didapati terbabit dalam politik wang.

Bagaimanapun sumber-sumber itu berkata, Ikmal yang juga bekas ketua Pemuda bahagian, turut kelihatan di mesyuarat perwakilan pemuda berlangsung Jumaat lalu walaupun Jawatankuasa Disiplin Umno sudah menggantung keahliannya.

Dilarang

Difahamkan, mereka yang terpilih menerajui pergerakan Pemuda bahagian berkenaan terdiri daripada para penyokong Ikmal.

"Malah, ada dua ahli jawatankuasa Pemuda bahagian yang terpilih Jumaat lalu berusia melebihi 40 tahun. Manakala seorang lagi dilarang oleh Pendaftar Pendaftaran daripada memegang jawatan politik," kata sumber-sumber itu lagi.

Ditanya mengapa tidak ada pihak yang membantah ketika tin biskut itu digunakan sebagai peti undi, sumber-sumber itu berkata, perkara tersebut hanya disedari selepas proses pemilihan selesai dijalankan.

Berikutan itu, katanya, ramai ahli-ahli yang tidak puashati kerana proses pemilihan tersebut dijalankan tanpa mematuhi arahan badan perhubungan Umno negeri, khususnya dalam penggunaan peti undi.

"Mereka mengesyaki berlaku penyelewengan dan mahu melaporkan kejadian tersebut kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan esok," tambahnya.

Keputusan

Sementara itu, jawatan Ketua Pemuda dimenangi oleh Jusoh Deraman yang mendapat 113 undi untuk mengalahkan dua pencabar, Aisan Fadli Abdul Halim (65 undi) dan Mohd Yuswadi Yaacob (58 undi).

Manakala bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, Asri Hamzah memperoleh 87 undi untuk menewaskan dua pencabarnya, Mazli Mustapha (79 undi) dan Mohd Rozali Yaacob (65 undi).

Ketua Wanita Umno bahagian, Datin Shuhanie Deraman mengekalkan jawatannya selepas menewaskan pencabarnya, Halimah Ahmad dengan kelebihan 84 undi. Jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh Khadijah Yaacob yang mendapat 179 undi manakala pencabarnya Rosliza Deraman memperoleh 157 undi.

Ketua Puteri bahagian, Rafidah Mohd Arifin mengekalkan jawatan berkenaan selepas mengalahkan pencabar, Rohani Abu Hassan dengan kelebihan 12 undi.

Emi Shahrina Sihabudin pula mengekalkan jawatan Naib Ketua Puteri, Emi Shahrina Sihabudin mendapat 56 undi untuk menewaskan pencabarnya, Mee Rozita Zainuddin yang mendapat 37 undi.

Sementara itu, Pemuda bahagian itu mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein untuk Ketua Pemuda, manakala Khairy Jamaluddin, naib ketua.

Bagi peringkat bahagian pula, selain Hashim yang menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian, Nik Kamaruzzaman Sulong terpilih sebagai timbalan ketua dan Zakaria Hamad sebagai naib ketua.