Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pulih kepercayaan, ganti pemimpin tak efisien'
Diterbitkan:  May 11, 2015 6:00 AM
Dikemaskini: May 11, 2015 3:15 AM

Badan Perhubungan Umno Perlis mahu perubahan drastik dilaksanakan segera membabitkan beberapa pemimpin kerajaan dan kedudukan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi kepentingan negara.

Pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tindakan itu sangat perlu dikaji dan dilaksanakan segera berikutan isu kontroversi telah menarik perhatian rakyat.

"Isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan tidak diberi penjelasan sewajarnya menyebabkan rakyat mempersoalkan kredibiliti kerajaan dan terbaru timbul pula isu pembelian tanah oleh Tabung Haji.

"Perkara ini tidak boleh dibiar berlarutan. Sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perlis di Kangar semalam.

Shahidan berkata rakyat adalah keutamaan kerajaan, namun apabila orang yang diberi kepercayaan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan efisien, mereka wajar diganti.

Katanya, beliau bercadang menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok bagi mengemukakan cadangan Umno Perlis termasuk pencapaian dan keberkesanan pemimpin-pemimpin tertentu dinilai dan kaji semula.

Shahidan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata selain barisan pemimpin yang perlu ditukar, pendekatan baru bagi menyelesaikan isu kontroversi perlu dilakukan bagi meredakan spekulasi.

"Pemimpin mesti lancar dalam memberi penjelasan terutama soalan-soalan yang dibangkitkan oleh rakyat. Kelemahan menangani perkara ini hanya mengundang lebih banyak khabar angin dan peluang pembangkang menambah masalah kerajaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS