Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P Pinang, T'ganu serap GST yang dikenakan PBT
Diterbitkan:  May 11, 2015 4:28 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pulau Pinang menjadi negeri kedua yang mengumumkan akan menyerap Cukai Barangan dan Perhidmatan (GST) yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran titah Sultan Johor mengarahkan kerajaan negeri itu berhenti mengutip cukai itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail baru-baru ini bertitah arahan perlaksanaan cukai itu "tidak masuk akal" kerana perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat dan tidak wajar takyat dibebankan dengan cukai itu.

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat demikian berikutan rayuan pentadbirannya kepada Putrajaya untuk mengecualikan PBT daripada GST, yang berkuatkuasa 1 April.

Kerajaan Pulau Pinang akan menyerap pelaksanaan GST yang dikenakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) berkaitan projek, perkhidmatan dan kontrak yang dijalankan oleh PBT tersebut, kata Lim.

Kerajaan juga, katanya lagi, akan menyerap GST yang dikutip dari rakyat oleh pihak berkuasa tempatan bagi kerajaan persekutuan, seperti bayaran letak kereta, sewa tanah dan bangunan.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata kerajaan negeri akan menyerap sejumlah Rm15.6 juta GST yang dikenakan oleh MBPP dan RM5.8 juta oleh MPSP. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan negeri Terengganu menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan PBT negeri ini berkuat kuasa serta merta.

    

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penyerapan CBP itu yang berjumlah RM1.6 juta bertujuan meringankan beban rakyat di negeri ini.

    

"Ini adalah langkah untuk memastikan amaun CBP oleh PBT tidak dikenakan kepada rakyat.

    

"Perkara ini dipersetujui pada mesyuarat Exco 22 April lepas yang memutuskan untuk menyerap CBP bagi sembilan komponen utama di bawah PBT," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.

    

Sembilan komponen itu ialah sewaan bangunan dan premis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sewaan pasar, pajakan tanah, pajakan pasar, pajakan tempat letak kereta, sewaan kemudahan sukan, sewaan alat kelengkapan dan perhiasan, sewaan kenderaan, mesin dan jentera dan jualan borang, pelan dan dokumen.

Ahmad Razif berkata walaupun terdapat sembilan komponen, ada daerah yang menambah penyerapan CBP seperti di Kemaman yang menyerap CBP bagi jualan barangan taman rekreasi dan mini zoo, jualan tiket taman rekreasi dan mini zoo serta perkhidmatan penyelenggaraan.

    

Mereka yang sudah membayar CBP itu akan dibayar balik oleh Bahagian Kewangan setiap PBT berkenaan.

    

Terengganu adalah negeri kedua yang menyerap CBP selepas Johor yang menyerap CBP bagi semua PBT di negeri itu.

Lihat Komen
ADS