Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran sekiranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim tidak meletakkan jawatan.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Dr Khairuddin Aman Razali berkata selain Azeez, lembaga pengarahnya yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga perlu meletakkan jawatan.

Katanya, peletakkan jawatan itu perlu dilakukan kerana ahli Parlimen Baling serta lembaga pengarah yang lain didakwanya gagal untuk menguruskan wang pendeposit Tabung Haji dengan baik.

"Segera ditamatkan (perkhidmatan Azeez). Tabung Haji jangan jadi 'Pak angguk'. Di peringkat PAS, laporan polis dah dibuat di seluruh Malaysia.

"Insya-Allah kalau tak selesai juga, kita akan adakan demonstrasi besar-besaran bersama rakyat," katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum kepada Lembaga Tabung Haji di bangunannya di Jalan Tun Razak hari ini.

Memorandum sebanyak 10 muka surat itu diterima oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Sumber Manusia Tabung Haji, Hisham Harun.

Sebelum menyerahkan memorandum, kira-kira 200 orang berkumpul di perkarangan bangunan Tabung Haji selepas solat Jumaat bagi menunjukkan protes terhadap isu pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Perhimpunan yang diketuai oleh Khairuddin itu diadakan selama kira-kira 30 minit.

Mereka turut melaungkan "Undur Azeez" dan "Musnah BN".

Antara pimpinan lain yang hadir ialah AJK PAS Ridhuan Mohd Noor, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor Mohamad dan timbalannya Kamaruzaman Mohamad.

Lihat Komen
ADS