Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi batalkan persempadanan semula kawasan p'raya S'wak

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, Hakim Datuk Yew Jen Kie memberi pengisytiharan yang dipohon oleh PKR Sarawak bahawa persempadanan semula itu kurang butir-butir terperinci kawasan yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah mandamus bagi SPR untuk menerbitkan semula notis mengenai cadangannya untuk mengkaji semula pembahagian kawasan pilihan raya negeri Sarawak untuk tujuan pilihan raya dewan undangan negeri.

Permohonan itu dibuat oleh ADUN Batu Lintang, See Chee How (kanan) dan seorang pengundi Ulu Baram.

Ini adalah satu bentuk kemenangan kepada pembangkang yang telah mempersoalkan persempadanan semula itu sebagai tidak sah kerana ia kekurangan butir-butir bagi pengundi untuk membantah.

Mahkamah Tinggi Kuching membenarkan permohonan See pada 7 Julai bagi semakan kehakiman.

Keputusan hari ini akan menjejaskan rancangan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mendapatkan mandat baru selepas dilantik tahun lepas. Kerajaan mesti mengadakan pilihan raya sebelum pertengahan tahun depan.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri dan proses persempadanan semula oleh SPR bertujuan untuk menambahnya kepada 82 - meningkat 11 kerusi.

Di samping keputusan hari ini, aktivis Haris Ibrahim juga telah memfailkan semakan kehakiman terhadap SPR supaya menyediakan butir-butir proses persempadanan semula untuk semua kawasan pilihan raya di Malaysia.

See, ketika dihubungi berkata, keputusan hari ini adalah baik untuk rakyat Sarawak kerana SPR tidak seharusnya meradak proses persempadanan semula seperti yang telah dilakukan pada masa lalu.

Keputusan itu, katanya, bermakna mahkamah mendapati bahawa SPR telah tidak mematuhi Jadual ke-13 seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Ini bukan sahaja kemenangan bagi Sarawak tetapi bagi negeri-negeri lain yang berdepan proses persempadanan. semula. Saya ingin mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada BERSIH dan NGO Rose (Rise of Sarawak Efforts).

"Mereka dan kumpulan masyarakat sivil yang lain telah banyak menyumbang kepada usaha kami dan menyokong kami dalam cabaran kami ini."

Dengan keputusan itu, ADUN Batu Lintang itu berkata SPR perlu mematuhi apa yang diperlukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata suruhanjaya itu akan 'mengkaji dengan teliti' keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak hari ini.

Menurutnya, satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan.

Mengenai persempadanan semula di negeri-negeri lain, Abdul Aziz berkata SPR akan mengeluarkan notis untuk mereka pada masa yang sesuai.

[Baca berita penuh/asal]

 
 

 
 

Lihat Komen
ADS