Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga bantu tembak pemungut hutang ditahan

Polis menahan seorang peniaga kedai minuman bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemungut hutang yang maut selepas ditembak di lorong belakang deretan rumah kedai di Taman Carissa, Mak Mandin, Butterworth Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh kira-kira 8.10 malam tadi.

"Polis turut menemui motosikal dengan beberapa kesan darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan di rumah peniaga terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, mangsa Goh Wooi Loon, 31, sedang menunggang motosikal seorang diri sebelum dikejar suspek yang turut menaiki motosikal dan ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri akibat terkena tembakan.

Abdul Rahman berkata pemeriksaan dalam rumah yang didiami lelaki bujang itu bersama-sama tujuh anggota keluarganya, polis turut menemui sepucuk pistol yang disembunyikan dalam sebuah bilik.

Buang dalam sungai

Bagaimanapun pistol itu bukan digunakan dalam kejadian berkenaan sebaliknya lelaki terbabit mendakwa telah membuang pistol yang digunakan dalam kejadian itu ke dalam Sungai Perai.

"Kami menggunakan khidmat enam penyelam polis marin untuk mencari pistol yang telah dibuang dalam Sungai Perai dan setakat ini ia belum ditemui," katanya.

Abdul Rahman berkata motif kejadian dipercayai berkaitan dengan dendam dan rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa kerana si mati didakwa telah beberapa kali mengugut lelaki berkenaan berhubung hutang.

"Suspek dipercayai meminjam sebanyak RM50,000 daripada mangsa dan ia dipercayai digunakan untuk berjudi dan si mati telah beberapa kali mengugut lelaki berkenaan termasuk menyimbah rumahnya dengan cat merah," katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan mendapati peniaga itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan samun.

Katanya lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS