Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan hari ini, kerajaan bersetuju untuk menambah baik elaun pengetua dan guru besar, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, elaun pengetua sekolah menengah kini dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 sebulan manakala elaun guru besar sekolah rendah dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

Katanya, penambahbaikan elaun itu akan berkuat kuasa 1 Julai ini dan melibatkan 2,405 pengetua dan 7,757 guru besar.

"Penambahbaikan ini dibuat kerana pengetua dan guru besar memainkan peranan yang amat penting dalam kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025," katanya di majlis perasmian sambutan Hari Guru 2015 peringkat kebangsaan di Dewan Wawasan di Jitra, Kedah hari ini.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan persetujuan terhadap cadangan Kementerian Pendidikan untuk menambah baik elaun pengetua dan guru besar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS