Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anggota parti masih memerlukan beliau menjawat jawatan itu selepas 13 tahun memegang jawatan itu.

"Ahli-ahli masih memerlukan saya (sebagai presiden)," katanya ringkas ketika ditanya sama ada ingin mempertahankan jawatan yang disandangnya itu.

Beliau sebelum itu menghadiri sebagai panelis dalam majlis dialog “Bicara Harakah” di ibu negara hari ini.

Dalam dialog tersebut beliau ditanya mengenai sejauh mana isu perbezaan pandangan dalam parti dan penyelesaian yang diambil oleh parti.

MP Marang itu berkata berdasarkan pengalamannya bersama dalam PAS, sejak tahun 1960-an lagi, beliau menyaksikan pelbagai ragam dan jenis ahli yang menyertai parti itu.

"Ada yang maju pemikirannya, ada yang berfikiran sederhana, ada yang menzalimi diri sendiri. Kita tangani berdasarkan konsep Islam.

"Kita bertegas dalam perkara dasar. Kalau berbeza (pandangan) kita bermesyuarat untuk menyelesaikannya.

"Kalau tak terima dan (mahu) berpecah, itu adalah orang tolol dalam PAS dan keluar daripada PAS," katanya.

Krisis 70-an

Menurutnya lagi perbezaan dan perselisihan pandangan merupakan perkara biasa dan mustahil untuk dihapuskan.

Namun, katanya, apabila melibatkan perkara dasar, PAS tidak akan bertolak ansur.

Beliau memberi contoh bagaimana PAS berdepan krisis pertukaran menteri besar Kelantan pada 1970-an, ketika itu bersama BN, sehingga tersingkir daripada gabungan parti pemerintah pemerintah.

"Ada kumpulan setuju tukar menteri besar dan ada yang tak setuju tukar. Namun dibuat keputusan, menteri besar ditukar, dan Umno mengambil kesempatan isytihar darurat.

"Kemudian yang setuju dan tidak bersetuju tadi terus berada dalam PAS. Kita tak berpecah antara satu sama lain.

"Kecuali yang tidak boleh menerima konsep penyelesaian masalah dalam PAS. Sebab itulah mereka tubuh parti baru dan macam-macam lagi. Tapi mereka hilang ditelan zaman, dan PAS terus menjadi parti yang kuat," katanya.

Lihat Komen
ADS