Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rohingya - senyap Suu Kyi demi kuasa politik

Krisis pelarian Rohingya yang terapung-apung di lautan di perairan Asia Tenggara berlaku ketika Myanmar berdepan dengan persimpangan masa depan negara itu.

Myanmar akan mengadakan pilihan raya umum dan untuk kali pertama sejak 1990, parti pembangkang diketuai Aung San Suu Kyi akan menyertainya.

Dengan masa depan politik sebagai pertaruhan dan desakan berulang untuk Myanmar mengkaji semula peranannya sebagai sumber masalah pelarian, keengganan kerajaan dan pembangkang menangani krisis Rohingya memang ketara.

Kerajaan memang selama ini menolak isu itu dijadikan agenda antarabangsa. Misalnya, mengancam untuk tidak hadir dalam persidangan serantau jika isu Rohingya dibangkitkan negara jiran.

Namun pada masa sama, Suu Kyi yang dikenali sebagai pemimpin gerakan prodemokrasi dan mengetuai parti pembangkang, Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) lebih menjadi sasaran kecaman.

Banyak pihak mengharapkan wanita yang pernah memenangi anugerah keamanan Nobel pada 1991 itu membantu mengatasi isu Rohingya.

Enggan sentuh Rohingya

Pengarah Institut Kajian Keselamatan dan Antarabangsa di Bangkok, Thailand, Thitinan Pongsudhirak berkata sikap berdiam diri Suu Kyi ketika ini begitu ketara.

Ketika ditanya mengenai layanan diterima etnik Rohingya di Myanmar sejak dia dibebaskan pada 2010, Suu Kyi enggan menjawab dengan jelas.

Sebaliknya dia memberi jawapan 'berhelah' apabila menegaskan keperluan menghormati "kedaulatan undang-undang" sambil mendakwa, Rohingya bukan satu-satunya kumpulan yang menjadi mangsa prejudis.

Seorang penganalisis kanan kumpulan pemikir di Yangon berkata, Suu Kyi mempunyai kepentinan politik yang banyak di Myanmar.

"Dia pernah mengambil keputusan tidak popular sebelum ini atas nama hak. Tahun ini Myanmar akan mengadakan pilihan raya dan Suu Kyi tidak boleh mengubah pendiriannya sekarang," katanya.

Apabila agensi berita cuba mendapatkan komen mengenai isu itu, pegawai NLD memberitahu Suu Kyi berada di luar kawasan dan tidak dapat memberi sebarang komen.

Dengan sikap yang seiring dengan pendirian kerajaan, jurucakap NLD berkata, parti itu tidak dapat menerima definisi Rohingya tetapi menganggap mereka yang berjumlah kira-kira sejuta orang sebagai etnik Bengali yang menjadi pendatang haram dari Bangladesh.

Sikap bawa bencana

Kata jurucakap NLD itu, parti berkenaan juga perlu mengambil kira sentimen umum di Myanmarm termasuk suasana tegang di antara penduduk majoriti Buddha dan Muslim Rohingya.

Suu Kyi dan NLD memang perlu bergantung kepada undi penganut Buddha jika mereka mahu menang dalam pilihan raya umum November ini walaupun jika dia dihalang perlembagaan untuk menjadi presiden.

Kata Thitinan, sikap berhati-hati Suu Kyi itu dapat difahami.

"Suu Kyi tidak boleh bercakap untuk Rohingya ketika Myanmar di ambang pilihan raya dan beliau pula mengidamkan kedudukan tertinggi di negara itu," katanya.

Sementara itu kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) berkata, strategi politik diambil Suu Kyi membawa bencana kepada pelarian terbabit.

"Masanya sudah tiba untuk Suu Kyi menamatkan diamnya dalam isu Rohingya," kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson.

Walaupun ratusan pelarian Rohingya dari Myanmar diselamatkan ke pantai Malaysia dan Indonesia minggu lalu, dipercayai ada ribuan yang lain sedang terapung-apung di lautan ketika ini.

"Bagi mereka, lebih baik mati di laut daripada hidup di tanah yang penuh diskriminasi," kata seorang lelaki tua Rohingya di bandar Maungdaw di barat Myanmar.

Ketika tekanan terus meningkat untuk Myanmar menyelesaikan krisis Rohingya, mungkin tidak ada pilihan kepada Suu Kyi kecuali mengakhiri sikap berdiam dirinya.

Lihat Komen
ADS