Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak M'sia bangun bandar kesihatan di Australia
Diterbitkan:  May 22, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Bermula sebagai pelaburan sederhana bagi merealisasikan penubuhan sebuah komuniti kesihatan, kini cetusan idea usahawan kelahiran Malaysia, Maha Sinnathamby berkembang sebagai revolusi perkhidmatan perubatan dan kesihatan bernilai berbilion dolar.

Pengasas Greater Springfield yang dikatakan bandar baru kesihatan terbesar dan pesat berkembang di barat Brisbane itu, pada asalnya merangka pelan induk penjagaan kesihatan tempatan untuk menarik orang ramai ke bandar masa depan beliau.   

Usaha itu berjaya dan kini menarik puluhan ribu penduduk baru.

"Saya mengembara ke seluruh dunia dan meninjau 15 bandar raya dan kawasan perbandaran sebelum memutuskan jika saya mahu membangunkan bandar raya saya sendiri, saya perlu menyediakan penjagaan kesihatan yang baik selain pendidikan dan teknologi maklumat," kata Maha Sinnathamby yang percaya gabungan ketiga-tiga aspek itu adalah kunci dalam mengekalkan populasi.

Itu kisah 23 tahun lalu dan menurut Maha Sinnathamby, konsep kota raya tersebut tercetus semasa beliau melihat kawasan hutan terbiar seluas 2,860 hektar yang kemudian dibeli oleh beliau pada harga A$7 juta.

"Saya berjaya menarik minat pihak-pihak lain untuk membantu saya merealisasikan impian ini dan menjadi sebahagian daripada kota raya moden dan lestari," katanya kepada Bernama.

Maha Sinnathamby berkata selain perumahan dan kemudahan termasuk sekolah dan balai polis, beliau memastikan hospital yang dibangunkan digembleng dengan revolusi baharu dalam penjagaan kesihatan sebagai legasi peribadinya.

Maha Sinnathamby yang kini berstatus jutawan hasil pelaburan swasta dan awam bernilai lebih A$11.7 bilion turut mendapatkan institusi berprestij, Harvard Medical School untuk mereka cipta presint perubatan dan kesejahteraan bersepadu bagi menampung keperluan bandar raya yang pantas berkembang. 

Kini presint 'Health City' yang berkembang pesat, terus menarik pelaburan besar serta pujian.

Pada November ini, sebuah fasiliti penjagaan kanser yang canggih dengan 1,200 katil diluluskan untuk peringkat awal dijangka dibuka.

Projek perubatan ini menggunakan platform e-perubatan yang dioperasikan oleh pangkalan data bernilai A$273 juta iaitu antara pengkomputeran awan terbesar dan paling dilindungi di hemisfera selatan.

"Namanya Polaris dan ia juga akan menjadi bilik enjin untuk membantu Health City berhubung dengan semua termasuk pusat perubatan pakar, pembedahan, perkhidmatan diagnosis dan lain-lain dalam satu pakej bersepadu e-perubatan," katanya.

Beliau juga merancang untuk membina lebih 2,500 pangsapuri bagi warga emas, iaitu sebahagian daripada pelan hab serantau Health City.

Maha Sinnathamby akan berada di Petaling Jaya, Selangor minggu depan sebagai penceramah jemputan dalam Kongres Persekutuan Hartanah Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di One World Hotel.

- Bernama

Lihat Komen
ADS