Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Isu Rohingya masalah antarabangsa
Diterbitkan:  May 26, 2015 6:36 AM
Dikemaskini: 11:19 PM

Isu pelarian etnik Rohingya merupakan masalah antarabangsa dan bukan ASEAN sahaja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun Malaysia dan negara jirannya cuba mencari penyelesaian di peringkat ASEAN, isu pelarian Rohingya juga merupakan masalah antarabangsa yang memerlukan penyelesaian antarabangsa.

"Saya mengambil peluang untuk memberi taklimat ringkas kepada Perdana Menteri (Jepun Shinzo) Abe tentang cabaran terbaru dihadapi Malaysia dan ASEAN. Apa-apa sahaja yang Jepun dapat lakukan untuk membantu kita menangani masalah ini, amat dialu-alukan," katanya.

Najib berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Abe selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri di Tokyo.

Kedah berdepan dengan kebanjiran pendatang tanpa izin Rohingya dan Bangladesh sejak dua minggu lepas apabila 1,158 pendatang berkenaan ditahan selepas bot mereka mendarat di Langkawi pada 11 Mei.

Mereka mendarat di Malaysia selepas Thailand mengambil langkah memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemukan lebih 30 mayat di sebuah kawasan perkuburan di selatan negara itu, awal bulan ini.

Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk memberikan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang dipercayai masih berada di perairan antarabangsa, berdekatan.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala, pemimpin kedua-dua negara mengakui keadaan tidak berperikemanusiaan yang menyelubungi isu Rohingya.

Abe berkata beliau menyambut baik usaha dilakukan Malaysia dalam mencapai persetujuan dengan Indonesia untuk memberikan perlindungan sementara kepada pelarian berkenaan dengan syarat penempatan dan proses penghantaran pulang dilakukan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS