Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 24 Mei 2015, seorang manusia bernama Saiful Daniel Mohd Yusof telah menulis di Facebook dengan menggunakan poster rasmi Sarapan Pagi Bersama Joshua Wong oleh DuBook Press & Thukul Cetak.

“Gerakan terancang? Gulingkan Kerajaan?...Dubook Press (sebuah Publishing House haluan kiri anak buah Rahmat Hussin & Hishamuddin Rais) berusaha membawa masuk Joshua Wong ke Malaysia,”

Tulisan ini kemudiannya telah diambil oleh Free Malaysia Today secara bulat-bulat dan diterbitkan pada 25 Mei 2015 tanpa menyemak dengan wakil dari DuBook Press mahupun Thukul Cetak dengan tajuk ‘Pembangkang import aktivis Hong Kong’.

Ini adalah fitnah terang-terangan terhadap DuBook Press & Thukul Cetak. Kami faham kalau yang buat begitu adalah manusia bernama Saiful Daniel, sebab mungkin beliau ada agenda politik ataupun terlalu ghairah untuk menjadi pejuang sampai fitnah itu jadi darah dan daging.

Tapi kami tidak faham bagaimana sebuah portal seperti Free Malaysia Today boleh menyiarkan fitnah sebagai bahan berita untuk mensensasikan semula portal mereka yang tiada pembaca.

DuBook Press & Thukul Cetak tidak ada kaitan langsung dengan Hishamuddin Rais, pakatan pembangkang mahupun gerakan menggulingkan kerajaan.

Malah, siapakah Rahmat Hussin? Mungkin editor Free Malaysia Today kenal dan berkawan baik dengan Rahmat Hussin ini sehingga sanggup menjual namanya sebagai pelaris berita.

Tujuan utama DuBook Press & Thukul Cetak bersetuju dengan NGO Working Committee for 26th Anniversary Commemoration untuk menganjurkan program ‘Sarapan Pagi Bersama Joshua Wong’ ialah kerana kami percaya kepada demokrasi dan keterbukaan ilmu.

Sebagai penerbit yang pro-anak muda, kami juga percaya banyak yang kita semua boleh pelajari dari anak muda ini. Beliau menggerakkan revolusi di Hong Kong ketika beliau berumur 17 tahun.

Di Malaysia, kita semua masih mengharap kepada ahli politik berusia 67 tahun untuk keluar menyelesaikan semua masalah yang kita ada.

Penggerak Revolusi Payung yang ditahan di Pulau Pinang dan dikhabarkan untuk dihantar balik sebentar tadi ini ialah aktivis Pro-Demokrasi. Beliau menentang pemerintahan kuku besi Beijing terhadap Hong Kong.

Kami fikir ada baiknya anak muda di Malaysia khasnya para pengikut dan pembaca kami untuk bersoal jawab dengan anak muda ini kerana Joshua Wong ialah individu di tangga ke-10 dalam The World's 50 Greatest Leaders 2015 oleh Fortune Magazine .

Nama beliau masuk dalam senarai juga disenaraikan Most Influential Teens of 2014 oleh majalah TIME sebagai malah tercalon sebagai TIME's Person of the Year 2014 serta tersenarai pada tahun 2014 sebagai 100 Leading Global Thinkers oleh Foreign Policy.

Kami bukan penerbit berhaluan kiri. Kami juga menerbitkan buku-buku agama selain buku yang menyokong polisi kerajaan. Kami hanyalah penerbit buku yang mahukan anak muda Malaysia bersikap lebih kritikal. Itu pun kerana Wawasan 2020 tidak sampai lagi 5 tahun.

Kami sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana negara kita pada tahun 2020 nanti jika kita biarkan anak muda kita lalai dan hanyut seperti hari ini.

Jika itu kesalahan kami, maafkan kami Joshua Wong. Kami hantar kau balik tatkala seluruh dunia memerhatikan dirimu – kerana kebodohan yang tak dapat lagi kami bendung. #GoodByeJoshua


MUTALIB UTHMAN dan ZF ZAMIR penyelaras acara Sarapan Pagi Bersama Joshua Wong DuBook Press x Thukul Cetak.

Lihat Komen
ADS