Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Niat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkerjasama dengan Felda untuk mengurangkan 30 peratus bayaran balik pinjaman kepada anak peneroka, tidak ada unsur politik.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, apa yang dilakukan adalah untuk memberi lebih peluang pendidikan kepada anak peneroka, sesuai dengan fungsi penubuhan badan itu.

“Apa yang kita lakukan ini adalah meningkatkan peluang pendidikan kepada pelbagai golongan.

“Kita (PTPTN) tidak ada niat lain, apa yang kita buat ini adalah fungsi dan sesuai dengan matlamat penubuhan memenuhi konsep yang dibuat kerajaan,” katanya.

Sebelum itu PTPTN memeterai perjanjian memorandum persefahaman dengan Felda mengenai perkara itu di Menara Felda, Kuala  Lumpur hari ini.

Shamsul yang juga MP Lenggong berkata demikian ketika ditanya adakah niat PTPTN menjalinkan kerjasama dengan Felda mempunyai unsur politik, terutamanya pengundi muda.

Dalam pilihan raya Rompin baru-baru ini, BN mengalami kemerosotan undi yang mana peratusan sokongan jatuh daripada 66.53 peratus kepada 61 peratus.

Analisa awal

Dilaporkan analisa awal menunjukkan berlaku peningkatan undi terhadap PAS bagi semua peti undi di parlimen itu menyebabkan parti itu berjaya "tingkatkan sebanyak 10.2 peratus undi popular".

PAS berjaya mencatatkan kemenangan bagi peti undi Felda Keratong 4 dan Keratong 2, yang sebelum ini milik BN.

Ini termasuk meningkatkan jumlah sokongan pengundi muda di Felda Keratong 5 khususnya bagi saluran tiga dan empat walaupun tewas di kawasan itu.

Sementara itu, dalam memorandum tersebut, Felda akan menanggung 30 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak peneroka yang tamat pengajian diploma dan ijazah pertama.

Setakat tahun ini, Felda telah membelanjakan sebanyak RM16 juta bagi menampung 1,825 pelajar baru di IPT.

Keistimewaan itu katanya tertakluk kepada pelajar baru yang melanjutkan pelajaran di IPT tempatan bermula pada 1 Januari 2014 sahaja.

Lihat Komen
ADS