Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kecoh gas bocor di Wisma Persekutuan
Diterbitkan:  May 27, 2015 7:00 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Suasana di Wisma Persekutuan di Kuantan hari ini kecoh seketika selepas berlaku kebocoran gas Hartindo AF11E di bilik kawalan data maklumat yang terletak di bilik komputer, tingkat enam bangunan berkenaan.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi dan menyebabkan dua pekerja dikejarkan ke hospital kerana lemah, dipercayai akibat terhidu gas itu.

Beliau berkata semasa kejadian terdapat 12 pekerja dalam bilik komputer itu yang sedang melakukan tugasan berkaitan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang sedang berlangsung di Wisma Sri Pahang, bersebelahan Wisma Persekutuan.

"Kami menghentikan operasi di tingkat enam dan pekerja yang tidak mengalami masalah kesihatan diminta meneruskan tugas di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memandangkan sidang DUN masih berjalan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Menurut Muhammad Safian, tingkat enam Wisma Persekutuan turut menempatkan pejabat kewangan negeri.

Sementara itu, seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata beliau sedang melakukan kerja seperti biasa apabila terhidu bau gas dan melihat rakan sekerja yang duduk berhampiran bilik data maklumat hampir pengsan.

"Kami segera membuka tingkap dan berlari ke ruang tamu pejabat. Namun, beberapa rakan berkata lebih baik jika keluar dari pejabat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Kuantan Adli Awang Mohammad berkata siasatan mendapati kebocoran gas itu berpunca daripada suhu panas di bilik data maklumat menyebabkan gas Hartindo AF11E dilepaskan.

"Gas Hartindo AF11E merupakan gas yang biasa terdapat pada alat pemadam api. Lazimnya ia ditempatkan di bilik yang mempunyai alatan elektrik sahaja dan jika berlaku kebakaran, ia akan dikeluarkan secara automatik seperti sistem semburan menggunakan air," katanya.

Adli menambah pihaknya dapat menghentikan gas itu dan tingkat itu juga didapati selamat selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan petang ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS