Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'1MDB terlibat ubah wang haram?'
Diterbitkan:  May 28, 2015 10:53 AM
Dikemaskini: 4:52 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tekanan ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan mempersoalkan sekiranya 1MDB terlibat dengan pengubahan wang haram dengan pengetahuan perdana menteri itu.

Bekas PM itu merujuk kepada dana dari Cayman Islands yang kononnya disimpan di Singapura.

"Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura.

"Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering.

"Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore (MAS)?," soal Mahathir dalam tulisan di blog chedet.cc.

Mahathir menjawab kenyataan Najib bahawa dana AS$1.103 bilion (RM4 bilion) disimpan di Singapura kerana Bank Negara Malaysia akan mempersoalkan semua transaksi bernilai lebih RM50 juta.

Menurut Mahathir, campur tangan Bank Negara dalam transaksi tersebut tidak akan menimbulkan masalah jika semuanya dibuat mengikut undang-undang dan bukan satu pengubahan wang haram.

Mahathir mula mempersoalkan mengenai dana 1MDB berjumlah AS$1.103 bilion selepas kerajaan memberi penjelasan mengelirukan mengenai status dana tersebut.

Menteri bertanggungjawab

Menurut 1MDB, dana berkenaan ditebus dalam bentuk tunai dari Cayman Islands dan disimpan di BSI Singapura selepas pembatalan satu urusniaga dengan PetroSaudi.

Ia turut ditegaskan oleh Najib dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 10 Mac. Seterusnya pada 20 Mei, Najib mengubah jawapannya dan berkata wang tersebut dalam bentuk aset.

Lebih mengelirukan lagi, Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah menyatakan bahawa aset tersebut dalam bentuk “unit” tetapi tidak menjelaskan maksudnya.

Ini menyebabkan Mahathir menuduh beliau berbohong dan melakukan kesalahan jenayah kerana menyembunyikan perkara sebenar.

Dalam tulisannya hari ini, Mahathir seterusnya menegaskan bahawa menteri bertanggungjawab untuk memeriksa jawapan mereka, walaupun jika ia disediakan oleh pegawai kerajaan.

“Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan.

“Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran.

“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi 1MDB dan masih menunggu reaksinya berhubung dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS