Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat francais Burger King didenda RM40,000
Diterbitkan:  May 28, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM40,000 ke atas sebuah syarikat francais restoran makanan segera, Burger King kerana gagal mengemukakan maklumat kenaikan harga makanannya.   

    

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan denda berkenaan ke atas Cosmo Restaurant Sdn Bhd selepas pengurus kewangan yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal mengemukakan maklumat dalam notis yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

    

Notis yang dikeluarkan adalah berhubung kenaikan harga makanan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh notis diserahkan iaitu pada 6 April 2015.

    

Berdasarkan notis itu, syarikat berkenaan dikehendaki melengkapkan maklumat yang diminta berhubung kenaikan harga makanan di restoran itu.

    

Sebelum menjatuhkan hukuman, Zulqarnain berkata mahkamah berfungsi untuk memastikan kepentingan awam terjaga dan terpelihara dan hukuman yang dijatuhkan adalah berdasarkan kepentingan awam yang mengatasi kepentingan lain.

"Atas dasar kes ini merupakan kes yang ada hubung kait dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang melibatkan kepentingan awam, mahkamah beri keputusan yang boleh menghantar isyarat kepada peniaga supaya patuh kepada notis oleh

KPDNKK," katanya.

    

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis Burger King Desa Sri Hartamas, No 22, tingkat bawah Jalan 24/70A, Desa Sri Hartamas di ibu negara pada 10 April 2015.

    

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda maksimum RM250,000.

    

Terdahulu ketika rayuan, syarikat itu yang diwakili peguam Wan Nor Izzati Wan Idris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan syarikat itu telah mengaku bersalah terhadap kesalahan terbabit.

    

Timbalan Pendakwa Raya KPDNKK Zaileen Nadia Zubir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes itu merupakan kes pertama melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur.

"GST baharu sahaja dilaksanakan, kita tidak mahu dengan pelaksanaan GST, peniaga-peniaga menggunakan alasan ini untuk menaikkan harga dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

    

"Selain itu Burger King juga merupakan sebuah restoran yang terkenal di Malaysia, terdapat 47 cawangan di seluruh Malaysia, oleh itu saya memohon faktor ini dimasukkan untuk pertimbangan kerana ia bukan melibatkan perniagaan kecil-kecilan," hujahnya.

    

Sementara itu di luar mahkamah, Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Muez Abd Aziz memberitahu pemberita bahawa KPDNKK memandang serius mana-mana syarikat dan peserta industri yang gagal mematuhi arahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    

Beliau berkata syarikat itu merupakan syarikat pertama didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur selepas pelaksanaan GST 1 April lalu.

    

"Tindakan  ini diambil selepas aduan daripada orang ramai mengatakan ada berlaku kenaikan harga makanan, jadi prosesnya kita keluarkan notis untuk mendapatkan penjelasan dan penyiasatan namun syarikat itu gagal mematuhi notis yang diberikan.

    

"Kes ini diharap memberi pengajaran kepada syarikat-syarikat lain jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga, mengaut keuntungan dan tidak mematuhi notis yang diberikan," katanya.

    

Beliau berkata setakat ini lapan kertas siasatan telah dibuka oleh KPDNKK Kuala Lumpur hasil aduan dari orang ramai berhubung kenaikan harga.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS