Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Maritim China ceroboh perairan M'sia
Diterbitkan:  Jun 4, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan setakat ini hanya memantau kegiatan agensi maritim China yang berlabuh di gugusan Beting Patinggi Ali.

Pasukan China Coast Guard itu dikesan berlabuh di situ sejak dua tahun lalu, katanya seperti dilaporkan The Borneo Post .

Dalam tulisannya di Facebook, Shahidan berkata tindakan pasukan maritim China itu adalah satu pencerobohan ke dalam perairan negara.

“Berhampiran dengan kawasan tersebut terdapat sebuah kapal Coast Guard dari China yang berlabuh.

“Kapal TLDM dan boat APMM juga berlabuh dalam jarak satu batu nautika dari kapal Coast Guard China untuk mengawasi aktiviti kapal tersebut.

“Pulau kecil ini bukanlah tuntutan bertindih tetapi kapal asing yang datang ke sini adalah penceroboh di kawasan perairan negara,” katanya.

Katanya, kapal asing hanya dibenarkan melalui kawasan berkenaan dan tidak dibenarkan berlabuh.

Beliau melakukan tinjauan rasmi semalam ke Beting Patinggi Ali yang berada di kedudukan 84 batu nautika dari Sarawak.

Kegiatan pasukan keselamatan China yang semakin aktif di Laut China Selatan dilaporkan menimbulkan kebimbangan negara serantau dan Amerika Syarikat.

Jaga hubungan dengan China

Negara itu didapati aktif membina pulau buatan di tiga kawasan utama di laut luas itu, yang bakal membina wilayah baru China.

Laporan Reuters , Selasa lalu menyebut China sudahpun membina kawasan daratan seluas 2,000 ekar yang bakal memberi ancaman kepada kebebasan pelayaran di laluan utama perdagangan itu.

Kawasan daratan baru kini antara lainnya menempatkan lapangan terbang sepanjang 3,000 meter yang boleh menampung operasi pesawat ketenteraan yang besar.

Pembinaan landasan tersebut dilaporkan dibuat di kawasan kepulauan Spratly, yang turut dituntut oleh Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun tidak membuat bantahan ke atas kegiatan tersebut, yang dilihat sebagai usaha untuk menjaga hubungan baik dengan Beijing.

Pada minggu lalu, kerajaan Malaysia mengusir dua orang aktivis Hong Kong yang dijadualkan berucap dalam satu forum prodemokrasi di Petaling Jaya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengusiran itu dibuat bagi menjaga hubungan baik Putrajaya-Beijing.

Lihat Komen
ADS