Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali meminta supaya semua pihak berlaku adil terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pendiriannya tentang tahaluf siyasi (kerjasama politik) bersama Pakatan Rakyat.

Menurut Azmin, perkara itu perlu dilakukan memandangkan selaku presiden parti, Abdul Hadi telah menggunakan muktamar untuk mengajak anggota PAS mempertahankan Pakatan.

"Saya kira semua pihak perlu berlaku adil kepada Datuk Seri Hadi kerana selaku presiden PAS beliau telah menggunakan muktamar dalam ucapan dasarnya mengajak anggota PAS mempertahankan Pakatan melalui prinsip tahaluf siyasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Azmin ditanya pemberita sama ada ucapan dasar Abdul Hadi dilihat untuk menamatkan hubungan bersama Pakatan.

Hadi dalam ucapan dasarnya hari ini mempertegaskan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan selagi prinsip dan dasar parti tidak tergadai.

Sambil menuntut ketaatan kepada parti, Hadi mengingatkan sekutunya dalam Pakatan bahawa mereka tidak pernah campuri dasar dan perjuangan sekular rakan mereka.

Nada berbeza bagaimanapun terungkap dalam muktamar Dewan Ulama di Gombak semalam yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tetapi bersama PKR dalam Pakatan.

Lihat Komen
ADS