Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muktamar PAS memasuki hari terakhirnya hari ini tetapi 'kehangatan' pertembungan dua jalur dalam parti itu belum nampak petanda akan reda.

Perwakilan Rembau, Muhammad Faiz Fadzil sendiri ditegur kerana ucapannya ketika membahaskan usul pembentukan jawatankuasa pemantau pencapaian wakil rakyat tidak menyebut nama Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk dipuji.

Perwakilan Kulim - Bandar Baharu, Mohd Khairi Mohd Salleh berkata Muhammad Faiz sering memuji sesetengah anggota parlimen PAS kerana tidak poteng dalam sidang di Dewan Rakyat.

Bagi Mohd Khairi, anak Allahyarham Datuk Fadzil Nor itu tidak bersikap adil kerana tidak menyebut nama Presiden PAS ketika ini, Abdul Hadi.

"Presiden juga seorang MP dan presiden yang hebat. Ucapan kita tu perlu bersikap adil kepada presiden," katanya.

Sebelum itu Muhammad Faiz menegur anggota parlimen Pakatan Rakyat - termasuk dari PAS - yang gagal menunjukkan prestasi baik di parlimen khususnya berkaitan kehadiran untuk membahaskan sesuatu isu.

Beliau berkata ramai anggota parti kecewa terhadap beberapa ahli parlimen PAS yang gagal hadir ketika perbahasan rang undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (POTA) - yang didakwanya mirip ISA.

Yang penting hadir

"Kalah undi tak apa, tapi hadir. Kita gagal menunjukkan tanggungjawab dan amanah," katanya ketika membahaskan usul pengurusan organisasi memantau pencapaian ADUN dan anggota parlimen.

Usul itu dibawa oleh PAS Serdang.

Muhammad Faiz mencadangkan pengerusi jawatankuasa tersebut diketuai presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memastikan semua parti dan ahli menunjukkan ketaatan setiap keputusan yang dibuat.

Katanya, semasa Allahyarham bapanya menjadi ketua Whip PAS, semua anggota parlimen dan ADUN tidak berani ponteng sidang parlimen atau DUN.

"Ketika itu semuanya mereka hadir pada setiap masa," katanya.

Menurutnya lagi, PAS perlu melahirkan pemimpin yang berkualiti dan mampu berbahas isu-isu rakyat dalam Dewan dengan isi yang bernas dan efisien serta mempertahankan polisi kerajaan Pakatan rakyat.

"Kita bukan sahaja mahu hebat di pentas ceramah tetapi gagal berbahas dengan baik. Kualiti debat mesti dengan isi yang baik dan efisien bukan sahaja hebat dengan nas dan sebagainya," katanya.

Muhammad Faiz yang juga seorang peguam berkata, PAS perlu melahirkan beberapa pemimpin yang lantang memperjuangkan isu rakyat  bersama hudud sehingga dalam keadaan tertentu diarahkan keluar daripada dewan persidangan.

Beliau merujuk Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai contoh kepada kelantangan dimaksudkannya.

"Kita nak lahirkan ahli parlimen seperti Datuk Mahfuz, yang kena halau. Inilah ahli parlimen yang kita nantikan, dilahirkan dalam PAS," katannya.

Beliau turut menyebut beberapa anggota parlimen seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin yang mendapat pujian pegawai kerajaan ketika membahaskan sesuatu isu di parlimen.

Muhammad Faiz turut mencadangkan supaya penilaian prestasi itu dibentangkan dalam muktamar sebagai mekanisme semak dan imbang supaya ia diketahui perwakilan.

Lihat Komen
ADS