Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

UMNO menghormati keputusan perwakilan PAS memilih golongan ulama memimpin parti itu bagi penggal 2015-2017 pada muktamar tahunan parti itu yang berakhir semalam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata perwakilan parti itu telah membuat pilihan yang baik supaya golongan ulama memimpin parti itu.

"Itu adalah kehendak perwakilan, mereka telah mengambil kira semua aspek dan memutuskan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi pemimpin mereka. Kita perlu menghormati pilihan perwakilan," katanya kepada wartawan Malaysia sempena lawatan tiga harinya ke Arab Saudi, di Jeddah, semalam.

Beliau diminta mengulas perkembangan dalam parti itu yang menyaksikan banyak pemimpin proulama terpilih termasuk anggota Jawatankuasa PAS Pusat parti itu dan Nik Abduh, anak bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memenangi jawatan Ketua Dewan Pemuda.

"Barisan kepimpinan baharu menunjukkan pemimpin yang lebih bersatupadu... dalam hal ini, ia mudah untuk mereka berbincang sesuatu dengan positif," katanya.

Dalam pemilihan itu, timbalan presiden parti, Mohamad Sabu, yang dikatakan pro-DAP pula tewas kepada pencabarnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilihat proulama.

Ditanya kemungkinan bentuk kerajaan perpaduan di bawah barisan kepimpinan baharu itu, Najib berkata: "Ia tidak sepatutnya begitu khusus. Kita perlu beri masa kepada mereka demi perpaduan ummah."

- Bernama

Lihat Komen
ADS