Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keluarga kepada seorang pemandu teksi sambilan yang dibunuh hampir tiga tahun lalu akan memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengadakan inkues berhubung pembunuhan S Nallan.

S Nallan dilapor ditemui mati pada tarikh tersebut dengan badannya ditikam sebanyak 16 kali, leher dikelar, mulutnya disumbat dengan kain dan sebahagian badannya dibakar.

Kejadian itu berlaku di Jalan Tun H S Lee kira-kira jam 11.50 malam, pada November tiga tahun lalu.

Peguam keluarga mangsa, M Visvanathan berkata beliau telah diarahkan untuk membuat permohonan tersebut selepas pihak berkuasa didakwa tidak dapat menyelesaikan kes dan menentukan punca pembunuhan kes tersebut.

"Pihak berkuasa buatlah apa yang patut dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.

"Selepas tempoh itu saya akan memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membuat satu siasatan inkues untuk mengetahui punca, bagaimana, apa cara S Nallan mati pada 3 November 2012," katanya dalam sidang medianya hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Penyelaras Projek SUARAM Tarmizi Anuwar dan ibu bapa mangsa yang turut membawa gambar mendiang.

Sementara itu, keluarga S Saravana Kumar berkata sehingga kini keluarganya tidak pernah dipanggil oleh polis untuk diberi penjelasan mengenai status terkini siasatan terhadap pembunuhan adiknya selepas pelbagai aduan  dibuat termasuk ke Bukit Aman dan Suhakam.

"Saya sudah penat membuat aduan. Tapi tak dapat maklum balas," kata Saravana yang menjelaskan banyak aduan dibuat untuk mengetahui siasatan terkini kes pembunuhan adiknya.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada IPD Dang Wangi berhubung insiden tersebut.

Sementara itu Tarmizi mempersoal mengapa suspek utama pembunuhan yang ditahan tidak didakwa di mahkamah sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis pada 18 Disember 2012.

"Kes ini sesuatu yang memeningkan ahli keluarga. Keluarga ada hak untuk mengetahui status terkini siasatan.

"Janji keputusan forensik dan DNA tapi hampir tiga tahun, tak ada berita," kata Tarmizi.

Sementara itu, bapa mangsa N Selvaraja sambil mengesat air mata, memegang gambar S Nallan dan meminta polis mempercepatkan siasatan.

Lihat Komen
ADS