Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes minta pakai sarung, JPJ mohon maaf
Diterbitkan:  Jun 9, 2015 7:46 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memohon maaf kepada seorang wanita yang diminta memakai kain sarung sebelum boleh berurusan di kaunter JPJ.

Selain itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan JPJ, pihaknya turut memberitahu tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

"JPJ ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika mereka tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

"Apa yang terjadi jelas telah menyulitkan urusan pelanggan tersebut.

"Pihak JPJ berasa amat kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf kepada Puan Tan di atas kesulitan yang beliau alami," kata kenyataan itu.

Semalam, media sosial tertumpu kepada facebook seorang wanita yang diminta memakai kain sarung oleh kakitangan JPJ apabila dia masuk ke pejabat mereka.

Menurut catatan di Facebooknya, Suzanne GL Tan pergi ke sebuah pejabat JPJ untuk menandatangani borang pemindahan hakmilik untuk kereta yang telah dijualnya.

Tan, yang memakai baju putih dan merah jambu dan berskirt merah berkata beliau telah diberikan kain apabila dia didatangi seorang pegawai JPJ di belakang kaunter barisan.

Dia mendakwa diminta memakai kain sarung itu atau dia tidak akan dilayan.

Ekoran kejadian itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap kes tersebut serta tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab meminta wanita itu memakai kain sarung.

Lihat Komen
ADS