Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin-pemimpin kanan PAS menyerahkan kepada Majlis Syura untuk menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu berhubung kerjasama dengan DAP.

Malah, pada mesyuarat pertama jawatankuasa pusat parti Islam itu malam ini, perkara isu hala tuju PAS bersama DAP mungkin tidak akan dibincangkan.

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mesyuarat pada malam ini hanya memfokuskan agenda pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat yang baru serta pembentukan biro-biro parti.

"Mesyuarat pertama adalah untuk pelantikan AJK Pusat serta pembentukan lajnah (biro) sahaja," katanya kepada Malaysiakini .

Bagi naib presiden baru Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula, urusan itu perlu diputuskan oleh Majlis Syura terlebih dahulu sebelum dibincangkan jawatankuasa pusat.

Bagaimanapun, Timbalan menteri besar Kelantan itu juga berkata, terpulanglah kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika mahu membincangkan perkara itu malam ini.

"Tak tahu (sama ada akan dibincang). Itu atas (keputusan) presiden.

"Saya tak tahu (mesyuarat Majlis Syura), saya bukan dalam Majlis Syura. Sebab cadangan itu dibuat Dewan Ulama dan Majlis Syura yang akan bermesyuarat.

"Selepas itu mereka (Majlis Syura) akan maklumkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS," katanya.

Bila Majlis Syura bersidang?

Seorang lagi naib presiden parti itu Idris Ahmad juga berkata tidak mengetahui sama ada mesyuarat malam ini akan membincangkan tentang kemelut PAS bersama DAP.

Dengan ringkas, ahli parlimen Bukit Gantang itu hanya berkata: "Tak tahu (bincang atau tidak) sebab presiden tak beritahu."

Ditanya mengenai bila Majlis Syura akan bermesyuarat bagi berbincang usul Dewan Ulama, Idris berkata: "Tak ada lagi tarikh”.

Kemelut antara PAS dan DAP bertambah buruk apabila muktamar tahunan PAS minggu lalu meluluskan usul Dewan Ulama supaya parti Islam itu memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Ekoran keputusan itu, setiausaha agung DAP yang juga ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta supaya semua wakil PAS yang menduduki jawatan dalam kerajaan negeri meletak jawatan.

Bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu serta seorang lagi pemimpin progresif PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan meletakkan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS