Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Mahathir Mohamad nampaknya benar-benar mahu bersemuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pentas debat.

Semalam, dalam pertemuannya tertutupnya dengan sekumpulan NGO, beliau sekali lagi menyuarakan hasrat itu.

Malah, katanya, bukan sekadar soalan berkaitan kontroversi 1MDB, beliau juga bersedia menjawab serangan balas terhadap pentadbiran 22 tahunnya sebelum ini.

"Saya nak minta Datuk Seri Najib dengan saya duduk atas pentas, depan televisyen. Najib boleh soal saya tentang apa saya buat dulu, kononnya saya hilangkan duit, apa semua, lesapkan duit.

"Dia boleh tanya dan saya boleh tanya dia. Sama-samalah.

"Tapi you (Najib) kena jawab sama. Sama-sama kita duduk atas pentas, semua kamera televisyen duduk di depan dan disiarkan di seluruh negara," kata Dr Mahathir dalam sebuah rakaman video ketika pertemuan itu diadakan semalam.

Enggan layan 'kucing kurap' PKR

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan peserta yang membangkitkan soalan sama ada beliau bersedia menerima undangan sebuah lagi program dialog 'Nothing2Hide' anjuran Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Walaupun sedia berdebat, Mahathir bagaimanapun keberatan terlibat dengan aktivis yang juga seorang bekas pemimpin pusat PKR itu.

"Itu kucing kurap daripada PKR... bagi tahu kepada dia, saya tak jawab soalan kucing kurap," katanya lagi yang mendapat sorakan dan tepukan daripada peserta.

Sementara itu, seorang peserta memberitahu Malaysiakini , pertemuan yang bermula kira-kira jam 4.30 dan berakhir pada jam 6 petang itu hanya berkisar mengenai Najib dan isu 1MDB.

"Macam-macam (yang diperkatakan) mengenai Najib Razak terutamanya isu 1MDB.

"Banyak kumpulan yang datang nak tahu benda yang sama daripada Tun," kata peserta tersebut.

Semalam, pertemuan tertutup kira-kira 50 peserta daripada beberapa NGO itu diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Pertemuan semalam dilihat antara siri gerak kerja Mahathir untuk terus menyerang pentadbiran Najib dan mendesak beliau meletakkan jawatan, terutamanya berkaitan isu 1MDB.

Lihat Komen
ADS