Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anifah bidas kecaman Dr M dalam surat pada NYT
Diterbitkan:  Jun 19, 2015 6:27 AM
Dikemaskini: 11:35 PM

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membidas kecaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara dan parti politik dalam surat terbuka kepada editor akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times .

Anifah kesal melihat Dr Mahathir cuba untuk merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai sebahagian daripada dendam politik peribadi.

"Ia adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana warga negara, apatah lagi seorang bekas perdana menteri, untuk menyebarkan pembohongan dan memutarbelit mengenai kedudukan syarikat-syarikat milik negara," kata beliau dalam surat terbuka itu, yang dikirim kepada Bernama semalam.

Anifah mengkritik serangan Dr Mahathir terhadap 1MDB, Umno dan tuduhan terhadap perdana menteri yang masih berkhidmat, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ini ialah beberapa petikan surat Anifah mengenai 1MDB.

"Contohnya dengan menyatakan bahawa RM42 bilion lesap dari 1MDB untuk menimbulkan kebimbangan awam sedangkan hakikatnya ini hutang yang diaudit bersandarkan aset bernilai RM51 bilion. Dakwaan-dakwaan melulu ini memberi kesan kepada sentimen pasaran terhadap Malaysia. 

"Selain itu, beliau terus melancarkan serangan, dan tidak sebaliknya menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

"Ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir tidak berminat kepada jawapan dari pihak berkuasa berkenaan yang sah. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan 1MDB sebagai alasan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak."

Mengenai pandangan Dr Mahathir terhadap Umno yang menjadi 'lubuk untuk ahli politik bernaung', Anifah berkata: "Tun Mahathir yang mengetuai parti selama 22 tahun. Beliaulah semasa pemerintahannya berusaha untuk memupuk budaya "yes men" (Pak Turut) dan mengukuhkan kedudukannya."

Mengenai tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib, Anifah berkata ia semata-mata keterlaluan, dan tidak benar sama sekali.

Beliau berkata ia adalah hasil daripada langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang membolehkan Tun Mahathir mempunyai kebebasan untuk bersuara begitu kritikal terhadap parti dan kerajaan yang beliau pernah memimpin.

"Kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka melihat Dr Mahathir bersara secara hormat daripada terus merosakkan kedudukan negara sendiri untuk kepentingan politik peribadinya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS