Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anak bekas presiden Pas, Faiz Fadzil berjanji untuk 'membawa' gemuruh tepukan hadirin dalam majlis forum malam tadi kepada Mohamad Sabu sebagai salah satu input sebelum keputusan mengenai pembentukan parti baru dibuat.

"Tuan-tuan masih mahu PAS? Kalau tak mahu, buka parti baru," katanya.

Sebaik saja ungkapan itu diajukan, hadirin membalasnya dengan tepukan yang gemuruh.

"Kalau tuan-tuan nak parti baru, kita akan bincangkan. Tepukan malam ini saya kena lapor kepada Abang Mat (Mohamad Sabu)," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, tanpa menjeaskan butiran lanjut, Faiz berkata, beliau akan membawa 'tepukan' itu kepada "pemimpin" kumpulan profesional yang disingkirkan perwakilan dalam muktamar PAS lalu, iatu Mohamad Sabu.

Faiz bercakap dalam forum Apa Selepas Muktamar PAS di Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong, pemimpin PKR Low Chee Chong dan penganalisis Lim Hong Siang.

Faiz yang turut gagal dalam cubaannya menempatkan diri dalam Jawatankuasa Pemuda PAS berkata kegagalan pemimpin PAS, DAP dan PKR menangani isu Pakatan Rakyat telah membawa kepada perpecahan gabungan itu.

"Saya tidak nafi isu (putus hubungan dengan DAP) dibawa oleh PAS. Kita ada Majlis Presiden tetapi ia tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga memecahkan Pakatan Rakyat," katanya.

Walaupun Pakatan dikatakan berkubur, Faiz berkata, pakatan pembangkang masih hidup malah beliau percaya satu gabungan baru mungkin ditubuhkan selepas ini.

Lihat Komen
ADS