Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, tangkapan telah dibuat ke atas rakyat Malaysia yang menjadi suspek dalam sindiket penyeludupan manusia di hutan Wang Kelian, Perlis.

Bagaimanapun, ketika ditanya berapa jumlah waran tangkap dan tangkapan yang dibuat melibatkan rakyat Malaysia, Zahid berkata perkara itu tidak perlu dihebohkan.

"Ada waran tangkap yang dibuat. Bukan sahaja waran tangkap tetapi tangkapan dah dibuat.

"Saya tak perlu hebohkan jumlah (tangkapan) dia. (Tetapi) satu jumlah yang munasabah mengikut laporan dan siasatan yang kita dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di program buka puasa bersama 200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datoh di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hari ini.  

Sebelum ini, pihak berkuasa Thai telah menyerahkan beberapa orang dipercayai suspek utama di sebalik sindiket penyeludupan manusia secara besar-besaran ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu paling berpengaruh dalam sindiket itu yang dikenali sebagai Yassin, masih bebas.

Sehubungan itu, pada sidang media sama Zahid berkata proses mengekstradisi sudah dijalankan bagi membolehkan pendakwaan dibuat apabila Yassin di bawa ke negara ini.

"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan untuk diperolehi dan akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari," kata Zahid lagi.

Lihat Komen
ADS