Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga pemimpin PAS dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti itu dalam muktamar baru-baru ini, dilantik menganggotai Jawatankuasa PAS pusat bagi tempoh dua tahun.

Mereka ialah bekas naib presiden Salahudin Ayub dan bekas ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar sementara bekas AJK PAS Pusat Mohd Taufek Abdul Ghani pula dilantik semula ke jawatan tersebut.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Kuala Lumpur.

Tuan Ibrahim berkata, surat pelantikan ini sudah dihantar sejak minggu lalu dan sehingga kini masih belum ada penolakan.

"Surat pelantikan itu dihantar secara formal, kita (juga) ada hubungi melalui telefon dan sebahagiannya kata (yang dilantik) tunggu surat dulu dan buat keputusan dan tidak ada penolakan setakat ini,” kata Tuan Ibrahim.

Malaysiakini telah menghubungi Salahuddin tetapi masih belum mendapatkan maklum balas.

Manakala Mahfuz pula berkata beliau belum menerima surat pelantikan itu dan akan menjawabnya selepas menerimanya kelak.

"Saya belum terima surat seperti yang didakwa oleh Tuan Ibrahim, saya akan jawab secara bertulis (jika terima surat). Saya masih belum terima lagi surat itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, lima lagi pemimpin PAS dilantik ahli jawatankuasa PAS peguam Datuk Wan Mutalib Embong, Dr Najihatul Salihah Ahmad, Mohamad Husin, Mukhtar Suhaili dan Zainal Abidin Kidam.

Tuan Ibrahim turut mengumumkan bahawa Datuk Mustafa Ali sebelum ini menyandang jawatan setiausaha agung kini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS pusat.

Manakala jawatan Setiausaha PAS kini disandang oleh Datuk Takiyuddin Hassan yang dibantu oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Khairul Fahmi.

Bagi jawatan bendahari pula PAS melantik Mohamad Noor Mohamad sementara Ketua Penerangan oleh Nasrudin Hassan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata PAS Pusat telah menerima surat peletakan jawatan Mazlan Aliman sebagai anggota jawatankuasa PAS dan beliau akan menggantikan calon lain bagi mengisi kekosongan itu.

“Peletakan jawatannya (Mazlan) diterima. Masih ada satu kekosongan dan akan diganti,” katanya.

Minggu Mazlan yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) meletak jawatan itu serta merta kerana mahu fokus kepada NGO yang disertainya.

Lihat Komen
ADS