Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses melantik jururunding bagi membuat kajian secara komprehensif tentang aspek keselamatan di sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kajian itu akan meliputi pelbagai aspek termasuk cadangan membina pagar-pagar baharu di sempadan negara di samping memperbaiki pagar sedia ada yang telah rosak akibat berkarat atau dirosakkan penceroboh.

"Di samping itu jururunding berkenaan juga akan memberi cadangan kepada kerajaan tentang amalan-amalan terbaik untuk mengawal sempadan negara.

"KDN sudah menerima permohonan daripada universiti tempatan dan syarikat swasta untuk menjalankan kajian tersebut," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk S.Vigneswaran.

Vigneswaran ingin tahu apakah status keselamatan di sempadan negara dan sejauh mana pihak kementerian memberi keutamaan kepada kepentingan keselamatan rakyat.

Ahmad Zahid berkata kementerian itu juga telah mengadakan bengkel pada 8 hingga 10 Jun lalu yang dihadiri semua pihak berkepentingan dalam penugasan di sempadan bagi merangka terma rujukan bagi kajian yang akan dijalankan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa dan akan terus memberikan fokus yang khusus untuk memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara.

Sementara itu, beliau berkata rakyat juga harus menjadi benteng utama dalam soal mempertahankan keselamatan negara, sekali gus mencegah sebarang aktiviti pencerobohan atau pembolosan di sempadan.

Beliau berkata kerjasama secara menyeluruh membabitkan rakyat dan pihak berkuasa sangat penting kerana penggunaan peralatan atau aset canggih sahaja tidak dapat menjamin pencegahan aktiviti pencerobohan di sempadan secara total.

Penduduk kampung berhampiran sempadan khususnya, harus memberi maklumat kepada polis, imigresen atau Unit Pencegah Penyeludupan jika mencurigai sebarang aktiviti terutama membabitkan penyeludupan atau pemerdagangan manusia, katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Ali ingin tahu adakah pagar di sempadan negara ada diselenggara dan diletakkan sistem penggera bagi mengesan pencerobohan dan adakah kerajaan boleh membina jalan kampung sepanjang sempadan negara bagi mencegah penyeludupan.

"Kita juga harus membuat kajian perbandingan dengan kecanggihan sempadan yang ada di Amerika Syarikat, dalam keadaan sempadan terlalu canggih, aset canggih, kawalan keselamatan sempadan (border security) yang cekap dan personel terlatih, masih terdapat 11 juta pendatang asing tanpa izin di negara itu," katanya.

Mengenai pembinaan jalan kampung di sepanjang sempadan negara, beliau berkata ia pernah dilakukan sekitar 1970-an dan 1980-an dan harus dibina semula serta dinaik taraf agar dapat dilalui lebih kerap.

Selain itu, katanya, kawasan sempadan juga harus jadikan zon ekonomi baharu dan perlu mendapat pertimbangan kementerian berkenaan untuk dibawa kepada jemaah menteri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS