Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Generasi muda perlu mencontohi semangat patriotisme yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara dengan sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) Datin Seri Rosmah Mansor berkata semangat patriotisme sangat penting bagi memastikan rakyat negara ini yang berbilang kaum berada dalam suasana aman, harmoni dan stabil.

"Malah, semangat patriotisme ini amat diperlukan pada masa kini apatah lagi kita sedang dilanda oleh ledakan teknologi maklumat dan dunia globalisasi yang menuntut semangat patriotisme yang tinggi dan kental.

"Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah abad, ini tidak bermakna semangat patriotisme tidak lagi penting bagi rakyatnya," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan negara di Bangunan BAKTI Siti Hasmah di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ahli Kehormat BAKTI Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Isteri perdana menteri itu berkata patriotisme adalah semangat kenegaraan yang melangkaui batas-batas bangsa, agama, bahasa dan budaya iaitu tidak boleh ada tolak ansurnya dalam hal ini.

"Bagi Malaysia yang sentiasa mengamalkan demokrasi, kita boleh bertelagah, berselisih faham mahupun berlainan ideologi politik dan pandangan, namun dalam soal semangat patriotisme dan sayangkan negara kita perlu berdiri sebagai satu bangsa yang bersatu padu dan kuat," katanya.

Rosmah berkata sekiranya rakyat tidak cintakan negara, mereka lebih senang dipengaruhi dan dipecah belahkan sekali gus mudah untuk mana-mana musuh memusnahkan bangsa yang bermusuh sesama sendiri.

Pada tahun ini BAKTI menyediakan 49,500 kotak juadah hari raya untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan negara bersempena sambutan Aidilfitri bulan depan.

Kesemua sumbangan juadah hari raya yang bernilai RM498,465 itu merangkumi rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi himpit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS