Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Rangoon di George Town disimbah cat merah manakala pintu hadapan dan bendera parti di pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Padang Kota di sini dibakar.

Imej kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat DAP Pulau Pinang menunjukkan dua lelaki menyimbah cat merah ke arah pejabat itu kira-kira 10.30 malam tadi manakala kejadian membakar pintu dan bendera parti di pusat khidmat ADUN itu dilapor awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata polis mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam dua kejadian itu.

Usaha mengesan tiga lelaki yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang itu giat dijalankan, katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Beliau berkata berdasarkan imej CCTV, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian di Pusat Khidmat di Kompleks Jalan Kedah manakala kejadian di Jalan Rangoon melibatkan dua lelaki.

Selain dua pejabat itu, Pusat Khidmat ADUN Komtar Teh Lai Heng di Jalan Talipon di sini turut disimbah cat hitam dan dipercayai cuba dibakar awal pagi Sabtu.

Mior Faridalatrash berkata pusat khidmat di Jalan Talipon tidak mempunyai CCTV dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tiga kes itu, katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab agar segera menghentikan perbuatan membakar dan membaling cat itu kerana ia menggugat ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Selepas kejadian awal pagi Sabtu itu, polis telah meningkatkan rondaan di 18 pusat khidmat DAP di daerah Timur Laut bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS