Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Peniaga bazar Ramadan naik harga, alasan GST'
Diterbitkan:  Jun 23, 2015 8:00 AM
Dikemaskini: 1:37 AM

Peniaga bazar Ramadan di Perak didapati menaikkan harga makanan dari 10 hingga 20 peratus berbanding harga makanan yang dijual tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsuddin Abu Hassan.

    

Beliau berkata kebanyakan peniaga memberi alasan kenaikan harga berkenaan adalah disebabkan kesan kenaikan harga minyak dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan pada 1 April lalu.

"Ini adalah alasan yang sengaja diprovokasikan peniaga. Kalau kita lihat kepada kuih yang dijual, bahan asasnya adalah tepung yang merupakan barangan yang terkawal, sifar GST, tetapi peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kuih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan di sini sempena program Turun Padang (TURPA) Ramadan anjuran Majlis Daerah Kampar.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Meor Ismail Meor Akim.

Samsudin berkata beliau menyeru kepada peniaga di bazar Ramadan supaya menitikberatkan etika kebersihan makanan yang dijual dan pemantauan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.

Samsudin turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan supaya meletakkan tanda harga mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa supaya peniaga tidak mengambil kesempatan.

   

Pada program itu, seramai enam ketua isi rumah menerima cek bernilai RM1,488 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui data e-kasih.

   

Bantuan berkenaan yang diwujudkan sejak 2007 merupakan bantuan wang rumah sewa yang diberikan kepada ketua isi rumah bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Seramai 30 orang dari kawasan Kuala Dipang dan Malim Nawar, di Kampar turut menerima bantuan berupa makanan di bawah Program Sekilo Budi yang dianjurkan sejak 2011.

- Bernama

Lihat Komen
ADS