Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Datuk Seri Nazri Aziz telah memberi keterangan berhubung amaran yang diberikannya kepada Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Khalid berkata menteri pelancongan dan kebudayaan itu berbuat demikian sejak seminggu yang lalu.

"(Nazri) sudah dipanggil. Dia dah bagi percakapan dan kita akan memajukan kertas siasatan pada pihak Peguam Negara pada bila-bila masa.

"Seminggu dah (Nazri dipanggil)," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran filem Bukit Kepong versi definisi tinggi (HD) di Bukit Aman petang ini.

Minggu lalu Khalid berkata Nazri akan disiasat bawah Akta Hasutan 1948 kerana memberi amaran kepada Tunku Ismail supaya menjauhi politik jika tidak mahu "dibelasah".

Ia susulan Tunku Ismail itu mengeluarkan kenyataan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak muncul pada program dialog 'Nothing2Hide'.

 

Mengulas lanjut, Khalid turut meminta supaya tiada pihak cuba menghangatkan lagi isu berkenaan..

Ia kerana, isu tersebut merupakan isu yang sensitif, kata Khalid.

"Eloklah tiada sesiapa lagi perkata tentang isu ini kerana ia isu sensitif.

"Benda sudah reda jangan cuba hangatkan lagi keadaan. Sudahlah tu," kata Khalid.

Lihat Komen
ADS