Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal hartanah: PAS nasihat Najib bercuti
Diterbitkan:  Jun 24, 2015 4:18 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

PAS menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bercuti sehingga siasatan terhadap dakwaan skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melbourne selesai.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata "langkah permulaan" itu juga wajar bagi memastikan tanggapan "tiada gangguan" terhadap Jabatan Audit untuk menyiapkan laporan 1MDB kepada PAC, hujung bulan ini.

"Banyak keputusan perniagaan berkontroversi seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad), penyenaraian Felda FGV, GST, pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji dan kini Mara telah berlaku di bawah kepimpinan Najib.

"Cap jari Najib dapat dikesan di sebalik semua keputusan ini meskipun media kerajaan cuba memisahkan Najib daripada kesemua keputusan-keputusan kontroversi ini," kata Tuan Ibrahim.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi MARA bahawa pembelian blok apartmen The Dudley International House oleh MARA Inc di Australia sebenarnya diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib ekoran pendedahan oleh akhbar The Age.

Laporan itu mendakwa sekumpulan pegawai MARA menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia untuk membida harga blok apartmen itu daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta), dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dalam kenyataannya Tuan Ibrahim menyifatkan pendedahan Annuar itu "sangat memalukan" sekaligus menandakan pemimpin Umno sudah mula keberatan untuk menanggung tugas bagi menjawab keputusan perniagaan kontroversi yang melibatkan Najib.

"Realitinya, hampir semua lubuk duit kerajaan dan syarikat milik kerajaan sudah disentuh untuk tujuan yang mencurigakan dan tidak memanfaatkan negara," katanya.

Tuan Ibrahim berkata dalam suasana nilai ringgit yang lemah dan hutang 1MDB yang masih perlu dibayar, maka tidak menghairankan jika syarikat konsesi tol selepas ini membeli tanah daripada 1MDB atas alasan pelaburan.

"Syarikat konsesi tol mendapat duit daripada siapa, kalau bukan rakyat," sindir Tuan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS