Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengambil tindakan terhadap mingguan perniagaan The Edge dan blog Sarawak Report.

Ia berikutan akhbar mingguan perniagaan dan blog itu memaparkan laporan berkaitan 1MDB yang diperolehi maklumatnya daripada bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andrea Justo.

Menurut Zahid, maklumat diperolehi Sarawak Report yang kemudiannya dilaporkan oleh The Edge itu merupakan maklumat yang tidak benar memandangkan fakta sebenar telah "diuli".

"Siasatan akan dilakukan terlebih dahulu bagi melihat akta yang bersesuaian untuk lakukan pendakwaan (terhadap The Edge dan Sarawak Report).

"Kerana kes tangkapan di Thailand, maka kita akan beri apa jua kerjasama yang diminta oleh pihak berkuasa Thailand termasuk memanggil saksi dari Malaysia.

"Kami merasakan pihak berkenaan harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk menerima sebarang tindakan yang akan terakibat daripada salah kutip berita atau dengan sengaja memutar dan menyelewengkan kenyataan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penerapan nilai-nilai murni oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, sebarang tindakan terhadap blog dan akhbar mingguan itu perlu dikaji terlebih memandangkan penyiasatan dibuat oleh  pihak berkuasa Thailand.

"Sebarang tindakan penerbitan dalam negara (ini) berkaitan penangkapan di Thailand, pihak Thailand yang akan lakukan siasatan.

"Dan jika kita boleh pakai hasil siasatan dari pihak Thailand bagi lakukan pendakwaan di Malaysia kelak, maka fakta itu akan digunakan polis dan pendakwaraya untuk lakukan pendakwaan," katanya.

Malah, beliau juga menambah, KDN turut bersedia untuk membantu siasatan dengan membawa saksi dari Malaysia kerana memaparkan berita yang tidak benar.

"Jika pihak Thailand mahu ekstradisi dilakukan bagi membantu siasatan terhadap rakyat Malaysia yang bertanggungjawanb memaparkan berita yang tak benar, KDN tak akan melepaskan tanggungjawab bagi memberikan kebenaran ekstradisi yang diminta oleh polis Thailand," katanya lagi.

Semalam, polis Thailand menahan Justo seorang bekas eksekutif teknologi maklumat (IT) PetroSaudi kerana membocorkan maklumat berkaitan 1MDB.

Sementara itu dalam sidang media sama, ketika ditanya mengenai kejadian bakar bendera DAP oleh Umno Pulau Pinang semalam, Zahid hanya berkata: "saya belum menerima laporan dari ketua polis pulau pinang."

Lihat Komen
ADS