Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penangkapan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd di Thailand sangat mencurigakan, yang menurutnya seperti satu konspirasi peringkat tinggi.

Mahathir berkata beliau tidak nampak mengapa seorang pelancong ke Thailand perlu ditangkap kerana jenayah yang didakwa dilakukan di Arab Saudi tanpa sebarang permintaan ekstradisi dari kerajaan itu.

"Mungkin kerana dia seorang pengganas, itulah sebabnya dia ditangkap oleh Thailand. Jika dia hanya mencuri rahsia syarikat, dia tak perlu ditangkap.

"Orang ini datang ke Thailand jelas sebagai pelancong melainkan Arab Saud minta Thailand menangkapnya. Saya tidak nampak mengapa Thailand harus menangkapnya," katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Kuala Lumpur malam ini.

Menurut laporan media antarabangsa, warga Swiss, Xavier Andrea Justo ditangkap di Koh Samui, sebuah pulau peranginan Thailand, pada hari Isnin kerana didakwa cuba memeras ugut 2.5 juta franc  (AS$2.7 juta) dari PetroSaudi International Ltd.

Justo telah didakwa menggunakan maklumat sulit yang dicuri dari syarikat itu untuk tujuan itu.

Mahathir menganggap penangkapan itu sebagai satu cubaan terbaru untuk menutup urusan 1MDB dengan PetroSaudi.

Beliau membayangkan bahawa laporan media yang berkisar mengenai penangkapan Justo, juga mungkin satu percubaan untuk menimbulkan keraguan terhadap kritikannya mengenai pengendalian kontroversi 1MDB oleh Putrajaya.

"Saya akan lihat (apa yang pihak berkuasa Thailand dapat). Tetapi hal keadaan penangkapan itu adalah mencurigakan. Macam ada perancangan. Ini orang pandai-pandai belaka. Macam ada perancangan sekarang.

"Saya tak tahu, kita mendapati beberapa propagandis yang sangat pandai (beroperasi), kini wajah saya sudah digelapkan dan legasi saya dimusnah," katanya.

Berikutan laporan mengenai penangkapan Justo, Putrajaya nampaknya telah mengambil naratif yang menyifatkan warga Switzerland itu sebagai pekerja PetroSaudi yang tidak puas hati yang menjaja maklumat syarikat yang "dipinda" kepada laman web  pemberi Sarawak Report.

Maklumat ini, termasuk komunikasi emel dan 'log chat' Blackberry Messenger, yang disiarkan oleh Sarawak Report dan kemudiannya digunakan oleh beberapa organisasi media Malaysia dalam laporan mereka yang kritikal terhadap keputusan perniagaan 1MDB.

Asas naratif ini nampaknya berpunca dari laporan New Straits Times, yang memetik sumber tanpa nama dari firma forensik siber -  Protection Group International (PGI) - yang berpangkalan di London, yang mendakwa bahawa mereka mempunyai bukti bahawa maklumat itu sememangnya telah dipinda.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS