Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan Naib Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Khairul Anwar Rahmat melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dilihat sebagai tindakan peribadi dan perlu dihormati, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    

Mengakui yang beliau tidak dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu, Mohamed Khaled berkata dirinya bersedia untuk bertemu dengan Khairul Anwar untuk mengetahui sebab sebenar.

    

"Sebab utama saya pun tak tahu, jadi saya tidak hendak ulas (lanjut). Kami menghormati keputusannya, mungkin dia ada sebab mengapa dia lakukan," kata beliau kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan di Masjid Kampung Melayu Pandan, di Johor Bharu hari ini.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairul Anwar yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), melepaskan kesemua jawatannya dalam parti itu bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kemasyarakatan dan perluasan operasi syarikatnya berkuat kuasa 11 Julai ini, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Khairul berkata beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perma berkata Umno Johor menerima keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual pada tahun depan kepada selama 18 bulan bagi memberi keutamaan kepada rakyat serta usaha memperkukuh parti itu.

Mohamed Khaled berkata keputusan yang diambil MT adalah bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada persediaan yang rapi untuk memperkukuh parti bagi berhadapan pilihan raya akan datang yang dijangka lebih mencabar.

Untuk berjaya, perlu kuat

"Antara cabaran yang dihadapi setiap kali musim pemilihan ialah perbalahan berterusan serta perpecahan dalam kalangan pemimpin dan anggota parti yang akan memberi kesan yang buruk terhadap parti itu sendiri.

"Untuk parti berjaya, parti perlu lebih kuat dan untuk kuat, ia perlu bersatu padu dan kami perlu elak keadaan parti boleh berpecah," kata beliau.

    

Terdahulu, Mohamed Khaled melawat lima buah rumah asnaf di Kampung Melayu Pandan serta menyampaikan hamper (keperluan makanan sebulan) dan duit zakat RM500 daripada Umno cawangan dan Baitulmal kepada golongan asnaf di Johor Bharu.

Lihat Komen
ADS