Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian siasat kes dera di KB
Diterbitkan:  Jun 30, 2015 5:29 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuat kajian terperinci berhubung kes penderaan kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dipercayai oleh bapa dan ibu tirinya.

Timbalan menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata kajian berhubung kes itu perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Penambahbaikan peranan institusi keluarga antara aspek yang perlu diberi perhatian semula, dan perceraian tidak seharusnya menyebabkan pengabaian kepada kanak-kanak sehingga berlakunya kes penderaan yang serius seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat perkembangan terkini kanak-kanak itu yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Katanya, kementerian memandang serius kes penderaan itu kerana ia menyebabkan kecederaan yang serius terhadap mangsa.

"Daripada maklumat yang diterima, kesihatan mangsa dilaporkan bertambah baik dan buat masa sekarang, kami akan fokus terhadap perkembangan kesihatan fizikalnya dahulu sebelum memberikan khidmat kaunseling kepadanya," kata Azizah.

Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya dalam keadaan wajahnya cengkung manakala seluruh badannya didapati lebam dan dipenuhi parut, sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta paha.

Kanak-kanak itu ditempatkan di HRPZII untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa kandung mangsa yang berusia 39 tahun dan ibu tirinya, 25, yang sebelum ini menjaga mangsa, telah ditahan reman oleh polis selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

- Bernama

Lihat Komen
ADS