Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menyambut kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang tidak mahu lagi terus bertelagah dengannya.

Malah, beliau mengambil peluang itu mengucapkan selamat hari keputeraan dan selamat menyambut Ramadan kepada putera kerajaan Johor itu.

Beliau juga meminta semua pihak menghormati permintaan Tunku Ismail untuk tidak lagi bergeseran bagi menghormati bulan mulia ini.

"Seperti beliau, saya hanya cakap apa yang saya fikirkan dan jika saya guris perasaannya, saya minta maaf. Tiada sebab peribadi.

"Ini bulan yang baik, dan beliau juga baru menyambut hari keputeraan. Jadi selamat berpuasa dan saya ucapkan selamat berbahagia bersama keluarga dan maaf zahir batin," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

Tunku Ismail semalam menggesa pihak media supaya menamatkan isu berkaitan pergeseran baginda dan Nazri kerana apa yang hendak disampaikan telah diluahkan dan bagi menghormati Ramadan.

Berbalas hingga semalam

Pertelingkahan mereka berdua bermula selepas Tunku Ismail mengkritik halus Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak hadir dalam dialog terus terang dengan NGO berkaitan isu 1MDB di Kuala Lumpur sebelum ini.

Tidak puas hati dengan perkara itu, Nazri memberi amaran supaya menteri itu tidak campur urusan politik atau bersedia 'dibelasah'.

Kali terakhir mereka berbalas kritikan di media semalam apabila Malaysiakini menyiarkan wawancara eksklusif dengan Tunku Ismail yang mengkritik keras Nazri sebagai rendah pekerti, tidak layak jadi menteri, sombong dan tong kosong.

Baginda juga menyentuh menafikan tanggapan Nazri bahawa orang ramai sukakannya kerana kaya, berkuasa dan kacak.

Secara berseloroh beliau berkata “Kaya, ya. Berkuasa, mungkin. Kacak tidak.”

Nazri pula kemudiannya terus memperolokkan kenyataan itu dengan berkata beliau gembira Tunku Ismail merasakan tidak kacak atau seksualitinya boleh dipersoal.

Lihat Komen
ADS