Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sehingga kini sejauh mana keseriusan masalah kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak dapat dipastikan, termasuk berkaitan ketumbuhan 4cm di buah pinggangnya.

Salah seorang peguamnya N Surendran justeru berharap pihak berkuasa dapat menyegerakan rawatan terhadap bekas ketua pembangkang itu bagi mendapatkan maklumat tepat.

"Itu yang kita minta supaya Datuk Seri Anwar dibawa ke wad semula dan dilakukan pemeriksaan (imbasan) CT scan . Tetapi sampai sekarang belum lagi.

"Semasa dua hari di Hospital Besar Kuala Lumpur, mereka ada membuat pemeriksaan tetapi tidak mencukupi. Sebab itu kita minta disegerakan rawatan terhadap Datuk Seri Anwar," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini, peguam Anwar menggesa pihak berkuasa mengeluarkan Anwar daripada penjara Sungai Buloh dan digantikan dengan tahanan rumah bagi membolehkannya mendapat rawatan kesihatan.

Peguam mendakwa kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan setelah susut berat badan sebanyak 6 kilogram.

Malah selepas Anwar dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur 2 Jun lalu, didakwa beliau mempunyai ketumbuhan 4cm di buah pinggang, otot bahu terkoyak serta masalah artritis kronik.

Lihat Komen
ADS