Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal 1MDB: 'Bola' di kaki Najib, kata Rafizi
Diterbitkan:  Jul 4, 2015 12:23 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Datuk Seri Najib Razak boleh membersihkan dirinya daripada tuduhan mengambil dana rakyat melalui agensi 1MDB dengan mengesah atau menafikan nombor akaun yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ) semalam adalah miliknya.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya hari ini berkata, perdana menteri boleh membantu untuk menjelaskan kedudukan sebenar akaun berkenaan sama ada ia wujud atau sebaliknya.

"Ini akan memberi gambaran paling baik kepada rakyat sama ada beliau benar-benar terlibat mengambil dana rakyat seperti yang didedahkan WSJ dan SR (Sarawak Report) itu," katanya.

Semalam WSJ melaporkan sejumlah hampir AS$700 juta wang 1MDB disalurkan kepada satu akaun bank perseorangan sejurus sebelum pilihan raya umum ke-13.

Menjawab dakwaan berkenaan malam tadi Najib percaya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pihak yang ada di belakang dakwaan terbaru itu.

 

Menurut Najib, beliau percaya Mahathir, dengan bekerjasama dengan rakyat asing, termasuk Sarawak Report, adalah di belakang pembohongan terbaru itu.

Kata Rafizi, bank yang terbabit - iaitu AmBank - juga perlu membuat kenyataan mengesah atau menafikan kewujudan akaun berkenaan dalam rekod mereka.

"Saya juga menyeru supaya Bank Negara Malaysia menggunakan semua kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan untuk merungkai kontroversi ini dengan mengesahkan sama ada akaun yang nombor dan namanya didedahkan oleh WSJ dan SR itu benar-benar wujud.

 

"Jika ia tidak wujud, perkara ini tidak perlu dipanjangkan," katanya.

Lihat Komen
ADS