Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Wira PERKASA Malaysia Irwan Fahmi Idris hari ini membuat laporan polis terhadap laporan Wall Street Journal (WSJ) yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kebenaran laporan berkenaan dan sekiranya bohong, pihak yang telah mengeluarkan kenyataan itu harus dibawa ke muka pengadilan.

“Kita gesa untuk siasat, sekiranya perkara ini tidak betul dan tidak wajarlah perkara ini difitnah sedemikian rupa.

“Ini bukan tentang mempersoalkan Datuk Seri Najib, ini soal integriti sesebuah negara. Saya dapat tahu media antarabangsa sudah pickup perkara ini dan kita mahu kesahihan perkara ini adakah benar, fitnah ataupun sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Dang Wangi.

Ketika ditanya bagaimana jika laporan dikeluarkan itu benar,  Irwan berkata, polis harus mengambil tindakan kepada Najib.

Dalam parti dia pun bersuara

Semalam WSJ melaporkan berlaku perpindahan dana 1MDB bernilai hampir AS$700 (RM2.6 bilion) ke akaun perseorangan yang menggunakan nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak".

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini juga membuat laporan terhadap Najib berhubung laporan WSJ berkenaan dakwaan penyelewengan 1MDB ke dalam akaunnya.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menyarankan agar Najib bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung isu ini.

"Cantik sekiranya PM bercuti sementara siasatan dijalankan... sekiranya perlu beliau berehatlah.

"‎Saya dapati ada elemen penyelewengan dan minta polis jalankan siasatan... individu yang perlu untuk disiasat ialah PM kerana  bagi saya ini adalah tuduhan yang mengejutkan kita," katanya.

Nik Nazmi berkata, jika Najib berada di pihak yang benar, beliau digesa untuk menyaman WSJ berhubung laporan tersebut dan sekiranya didapati bersalah, beliau harus meletak jawatannya.

“Saman WSJ atau kalau didapati bersalah, letak jawatan kerana sekarang bukan pembangkang saja bersuara, dalam parti dia (Najib) pun sudah bersuara.

"Bagi kita, kita mahu perkara ini disiasat secara menyeluruh dan AMK menyeru rakyat Malaysia untuk buat laporan yang sama,” katanya.

Lihat Komen
ADS