Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
WSJ: Petronas mungkin terpaksa selamat 1MDB
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 1:21 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Satu tulisan komentar di laman Wall Street Journal (WSJ) memberi amaran bahawa dana Petronas mungkin akan digunakan untuk menyelamatkan 1MDB sekiranya skim pelaburan itu menemui kegagalan.

Amaran itu dibuat WSJ berdasarkan penelitian ke atas perkembangan isu tersebut, apabila 1MDB kini terpaksa menjual asetnya bagi menampung beban hutang.

Apatah lagi bila timbul dakwaan dari Umno dan pembangkang bahawa 1MDB membayar dengan harga rendah untuk mendapatkan tanah kerajaan dan membayar harga tinggi untuk aset dimiliki pemimpin berpengaruh, kata WSJ .

“Apabila dana tersebut terpaksa melengahkan pembayaran hutang dan kos politik Najib semakin meningkat, dana tersebut mula menjual sebahagian asetnya kepada entiti awam lain dengan harga tinggi yang menghairankan.

“Ini semua cerita yang biasa didengar. Satu skim pelaburan kerajaan dilancarkan dengan janji besar untuk meningkatkan rantaian nilainya dan istilah ekonomi lain.

“Selepas itu, bermulalah penjualan aset. Jika projek itu berjalan dengan baik, parti pemerintah boleh mensasarkan pencapaian tertentu, dan dengan senang sekali mengabaikan kosnya yang tinggi.

“Jika ia gagal, wang rakyat akan menyelamatkannya dalam satu cara, dan syarikat monopoli minyak milik negara, Petronas, menjadi benteng terakhir,” tulisan itu dipetik.

WSJ seterusnya menyebut, harga minyak dunia yang merudum menyebabkan dana yang boleh digunakan oleh ahli politik kini semakin merosot.

“Ini menimbulkan persengketaan dalaman,” kata WSJ yang membangkitkan mengenai peranan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen untuk menekan Najib agar meletak jawatan.

Menurut komentar tersebut, penyokong Najib masih setia pada perdana menteri kerana bimbang jika seluruh sistem tersebut akan musnah.

Tulisan itu bagi mempertahankan laporan WSJ , Jumaat lalu bahawa penyiasat Malaysia menemui bukti yang berpotensi menunjukkan rasuah melibatkan Najib.

Dalam laporan itu, WSJ mendakwa para penyiasat Malaysia mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam akaun yang mereka percaya sebagai akaun bank peribadi Najib.

Tulisan komentarnya hari ini pula menyebut, sumber asal wang tersebut dan destinasi penyalurannnya masih belum jelas.

Najib sudahpun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa tuduhan tersebut didalangi Mahathir.

Lihat Komen
ADS