Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Tunggu polis Thailand selesai siasat Justo
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 1:42 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menunggu Polis Thailand selesai menjalankan siasatan terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Justo sebelum boleh dipertimbangkan untuk menyoal siasat warga Switzerland itu.

    

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sebelum ini telah menyuarakan hasrat kepada Polis Thailand bagi membincangkan permintaan Malaysia untuk menemui Justo yang sedang ditahan di Thailand.

    

"Tiada perkembangan terkini setakat ini. Kita tunggu dahulu pihak Thailand selesaikan kes berkenaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan 300 topi keledar kepada anggota polis trafik Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

    

Pada 24 Jun lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan Justo atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Khamis lepas, Khalid telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Thailand, Chaktip Chaijinda bagi membincangkan kebenaran menyoal siasat Justo berhubung kes berkenaan.

    

Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan pihaknya akan mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berhubung kontroversi pembelian aset Dudley International House di Melbourne, Australia.

    

Bagaimanapun Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan itu.

    

Baru-baru ini, akhbar Australia The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne dalam penipuan hartanah.

    

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu yang dikenali sebagai Dudley International House daripada A$17.8 juta kepada  A$22.5 juta (RM65.3 juta).

   

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh Mara, yang menyediakan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.

    

Terdahulu, Khalid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Seri Shazalli Ramly menyerahkan 300 topi keledar jenama Givi kepada anggota trafik Kuala Lumpur yang bertugas.

    

Shazalli berkata sumbangan itu merupakan tanda penghargaan kepada warga trafik Kuala Lumpur yang telah menjalankan penugasan dan kawalan lalu lintas di sekitar bandar raya ini.

    

"Dengan kehadiran polis-polis trafik di sekitar ibu kota memberikan rasa selamat dan aliran trafik lebih lancar," katanya.

    

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim dan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS