Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Didakwa ugut sebar video lucah, remaja ditahan
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 5:24 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan setelah dikatakan mengugut untuk menyebar gambar dan video lucah seorang remaja perempuan yang seusia dengannya di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata pelajar lelaki itu ditahan pada pukul 6.35 petang semalam susulan laporan polis yang dibuat remaja perempuan berkenaan Jumaat lepas.

Beliau berkata remaja perempuan itu yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah swasta di Kelana Jaya, Petaling Jaya telah berkenalan dengan remaja lelaki itu melalui laman sosial WeChat sejak Mac lepas.

"Sejak itu mangsa sering berhubung melalui WeChat dan WhatsApp dengan suspek. Pada Mei lepas, suspek dikatakan memaksa pengadu (mangsa) untuk menghantar gambar lucah kepadanya.

"Pada pertengahan Jun lepas, suspek sekali lagi memaksa pengadu menghantar video dengan berkelakuan lucah. Suspek mengugut akan menyebarkan gambar dan video (yang dihantar sebelum ini) ke laman sosial apabila pengadu tidak lagi menghubungi dan melayannya selepas peristiwa itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata oleh kerana bimbangkan keselamatannya, pelajar perempuan itu telah membuat laporan polis.

Bertindak dari laporan itu, polis menahan seorang pelajar lelaki di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, katanya dan menambah suspek direman selama tiga hari.

Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba.

- Bernama

Lihat Komen
ADS