Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terlalu ramai individu yang ingin menyertai 'Gerakan Harapan Baru' menyebabkan kumpulan progresif PAS yang sebelum ini digelar (G18) terpaksa menukar nama kumpulan itu, kata MP Shah Alam, Khalid Samad  

Bekas ahli jawatankuasa PAS pusat itu berkata sehingga kini sudah ratusan individu yang menyertai gerakan itu menunjukkan ia sesuatu perkembangan yang sihat.

Malah, katanya kumpulan tersebut sendiri sudah mempunyai barisan pemudanya yang sendiri yang sedia menggerakkan kumpulan tersebut.

“Ramai yang sertai kami, kerana dari negeri-negeri juga dah ada, sekitar ratusan dan mungkin menjangkau seribu,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang medianya di Shah Alam petang ini.

“Mereka kumpulan Pemuda yang gelarkan mereka sebagai pemuda Gerakan Harapan baru,” katanya lagi.

Kumpulan ini termasuk beberapa pemimpin kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti menggelarkan mereka sebagai G18 ekoran kekalahan progresif kalah dalam muktamar lalu.

Mengulas perselisihan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat, Khalid berkata ia sukar untuk diselesaikan dalam waktu yang singkat maka satu parti baru yang beridentitikan Islam perlu ditubuhkan bagi menangani masalah itu.

"Pemutusan (hubungan) PAS dengan DAP di dalam muktamar secara teknikalnya menyebabkan Pakatan sudah tidak wujud lagi.

"Maka kami rasakan perlunya satu pakatan baru yang boleh menyatukan hasrat rakyat. Ini bagi menandingi Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya yang sudah dekat," katanya.

Khalid berkata parti baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru akan diwujudkan jika PAS masih tetap pendirian mereka memutuskan hubungan dengan DAP.

"Kita terpaksa teruskan mewujudkan parti baru ini sekiranya PAS masih tidak berubah dengan pendirian mereka masa ini.

"Jika PAS rasakan mereka boleh teruskan dengan pendirian mereka masa ini, maka kita akan teruskan dengan menubuhkan parti baru itu," katanya.

Bagaimanapun Khalid tidak memberitahu bila parti baru itu diwujudkan kerana ia masih di peringkat cadangan.

"Kita tidak tahu lagi bila akan tubuhkan parti baru ini. Mungkin lepas Hari Raya Aidilfitri, mungkin lepas Raya Haji," katanya.

Lihat Komen
ADS