Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penipuan Internet, 5 penuntut Nigeria ditahan
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 6:00 AM
Dikemaskini: Jul 7, 2015 4:27 AM

Lima penuntut Nigeria dan dua wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam jenayah penipuan internet dengan nilai mencecah RM2.4 juta, ditahan dalam beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur susulan laporan polis dibuat di George Town.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata kelima-lima penuntut jurusan teknologi maklumat sebuah kolej swasta terkenal di ibu negara berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan di beberapa pangsapuri di Petaling Jaya, Cyberjaya, Damansara dan Kuala Lumpur pada 30 Jun lepas.

Susulan penahanan itu, polis menahan dua wanita tempatan yang masing-masing berusia 40 dan 55 tahun yang merupakan pemilik akaun bank yang digunakan sindiket berkenaan, katanya di George Town semalam.

Beliau berkata polis turut merampas lima set komputer riba serta 20 telefon pintar, kad  pengeluaran automatik (ATM), kad sim, serta beberapa dokumen yang digunakan sindiket berkenaan untuk menipu orang ramai.

Azmi berkata polis melancarkan Ops Merpati itu selepas menerima laporan daripada seorang pemilik kilang ais di George Town yang mendakwa ditipu kumpulan berkenaan.

Beliau berkata lelaki berusia 62 tahun itu mendakwa menerima e-mel daripada sindiket berkenaan pada Mac lepas yang memaklumkan beliau terpilih menerima dana sebanyak RM15.9 juta daripada kerajaan Amerika Syarikat.

"Kandungan e-mel itu juga memaklumkan beliau merupakan seorang daripada 50 pemenang bertuah di seluruh dunia dan perlu mengikut arahan seterusnya jika tidak mahu nama disingkir daripada senarai pemenang.

"Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran itu kemudian melakukan 51 transaksi kepada beberapa nombor akaun yang diberikan sindiket itu sebelum menyedari beliau ditipu dan membuat laporan polis," katanya.

Azmi berkata siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit menipu orang ramai di negeri ini melibatkan lebih RM2.4 juta dan polis juga mengesan beberapa transaksi lain yang mencecah lebih RM1 juta yang dimasukkan dari negara jiran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS