Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Empat jari murid hancur akibat mercun bola
Diterbitkan:  Jul 8, 2015 5:00 AM
Dikemaskini: Jul 8, 2015 3:00 AM

Seorang murid tahun empat hilang empat jari tangan kanannya setelah mercun bola yang dipegangnya tiba-tiba meletup dalam kejadian di rumahnya di Kampung Morak, Tumpat.

Dalam kejadian 5 petang Khamis lepas, mangsa Mohd Shakir Shukri, 10, yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Morak sedang bermain mercun bola seorang diri di hadapan rumahnya. 

Ibunya Nor Aini Nordin, 47, berkata ketika kejadian dia sedang memasak juadah berbuka puasa ketika terdengar bunyi letupan kuat dari hadapan rumahnya.

"Saya bergegas untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati anak saya sedang menangis menahan kesakitan dengan tangan kanannya ketika itu dipenuhi darah.

"Saya dan suami (Shukri Che Salleh, 51) kemudiannya membalut tangan Mohd Shakir dan terus membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu semalam.

Nor Aini berkata anaknya kemudiannya dibawa ke HRPZ II pada hari yang sama untuk mendapatkan rawatan.

"Empat jari anak saya hancur manakala tapak tangannya pecah, hanya tinggal jari kelingking sahaja... saya harap dia dapat pulih segera dan dapat menyambut hari raya Aidilfitri di rumah," katanya.

Jerit minta tolong

Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Muhamad Hanif Mohd Rozaimi cedera di muka dan tangan selepas bermain mercun bola di rumahnya di Tasek Gelugor kelmarin.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Suraya Md Desa, 40, beliau tidak menyedari Muhamad Hanif bermain mercun sehingga terdengar bunyi dentuman kuat dan suara anaknya menjerit meminta tolong.

"Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, (Muhamad) Hanif baru balik dari sekolah dan dia dipercayai terjumpa beberapa biji mercun bola itu dalam rumah,

saya pun tidak pasti ia milik siapa.

"Saya cuma nampak Hanif tergesa-gesa keluar dan saya tidak pasti dia mahu buat apa. Rupa-rupanya dia membakar mercun bola itu di perkarangan rumah kami," katanya semalam.

Katanya ketika sedang bersiap untuk memasak bagi berbuka puasa beliau terdengar bunyi dentuman kuat sebelum Muhamad Hanif menjerit meminta tolong.

"Selepas dentuman kuat mercun, saya dengar suara anak meraung kesakitan dan saya terus keluar untuk melihat keadaannya. Dia mengalami kecederaan iaitu melecur di muka dan tangan," katanya.

Suraya yang merupakan suri rumah berkata beliau dan suami membawa Muhamad Hanif ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan sebelum dia dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

Katanya Muhamad Hanif melecur tiga peratus di muka dan tangan akibat kejadian itu.

"Nasib baik keadaannya tidak teruk tetapi dari semalam Hanif asyik merengek sakit mungkin sebab kesan melecur akibat letupan berkenaan," katanya.

Letupan buatan sendiri

Sementara itu, mangsa mercun yang mengalami kecederaan parah di tangan selepas terkena bahan letupan buatan sendiri di Kampung Galok, Pasir Mas kelmarin kini dilaporkan stabil.

Ibu mangsa, Kamariah Salleh, 60, berkata beliau bersyukur selepas anaknya, Muhammad Alif Abdullah, 27, selamat menjalani pembedahan semalam.

"Memang saya amat terkejut melihat keadaan anak saya yang cedera parah. Saya memang tidak pernah mengambil tahu apa yang dilakukan dalam biliknya selama ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu semalam.

Kamariah bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak hospital untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, mangsa berkenaan menerima lawatan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berserta rombongan Exconya meninjau keadaan mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di HUSM Kubang Kerian.

Hadir sama, Pengarah HUSM Kubang Kerian Datuk Dr Zaidun Kamari.

Sementara itu Ahmad berkata kejadian letupan mercun buatan sendiri itu amat serius kerana melibatkan kecederaan yang teruk kepada mangsa.

"Kami sudah beberapa kali menasihatkan supaya peniaga tidak menjual mercun dan orang ramai tidak membuat bahan letupan sendiri.

"Bagi meraikan sambutan Aidilfitri, kita perlu sambut dengan sederhana. Kami tidak larang mereka hendak bergembira tetapi janganlah main mercun dan jagalah keselamatan diri kerana kesan mercun terutama buatan sendiri cukup dahsyat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS