Sebahagian pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menganggap pelaksanaan 'e-voting' sebagai ancaman terkini terhadap hak mahasiswa dalam menjamin perjalanan pilihanraya kampus yang bebas.

Sistem pengundian tersebut telah dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Pelaksanaan sistem itu di UPM dan UIA telah menimbulkan keraguan mahasiswa berhubung soal ketelusan, tahap kepercayaan dan ketepatan yang tidak menyakinkan, berisiko tinggi dan juga kerahsiaan peti undi.

Kebimbangan ini disuarakan oleh pertubuhan yang dianggotai oleh mahasiswa IPTA iaitu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP), dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Menurut mereka, pengenalan e-voting itu merupakan ancaman terbaru di samping Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mendiskriminasikan hak mahasiswa, serta tindak-tanduk pihak mentadbir IPTA yang menyekat kebebasan mahasiswa bertanding dalam pemilihan kampus pada 15 September lalu.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata mahasiswa telah dihimpit dan menjadi mangsa kepada unsur-unsur yang mencabuli prinsip demokrasi dalam pilihanraya kampus yang lalu.

Prinsip demokrasi

"Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan universiti merupakan pusat lahirnya para cerdik pandai dan generasi yang bakal mencorakkan masa depan negara," tegas mereka.

SMM, GAMP, Jerit juga turut mempertikaikan fungsi Kementerian Pengajian Tinggi yang sepatutnya bertindak menjernihkan amalan salahguna kuasa untuk menegakkan prinsip demokrasi, khususnya terhadap pentadbiran universiti.

"Kami juga kesal dengan tindakan pentadbiran universiti di kebanyakan kampus yang berat sebelah dan mengamalkan 'double-standard' dalam pengurusan pilihanraya yang menatijahkan budaya politik takut di kalangan mahasiswa," tambah mereka.

Mereka juga mendakwa berlakunya beberapa kejadian sepanjang pilihanraya kampus yang lalu, termasuk ugutan dan kecaman melalui ucapan umum pihak berkuasa universiti bahawa mahasiswa akan dibuang kolej kediaman jika tidak mengundi calon Pro-Aspirasi Kerajaan, yang didakwa berlaku di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka mendakwa berlakunya sekatan dan halangan terhadap mahasiswa yang berhasrat untuk bertanding seperti keengganan dekan untuk menandatangani borang penamaan calon seperti yang didakwa berlaku di Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) dan UM, manakala calon-calon di Universiti Utara Malaysia (UUM) mendakwa disekat terlebih awal daripada mengambil borang penamaan calon.

"Beberapa peraturan yang tidak munasabah dikenakan di dalam peraturan pilihanraya seperti satu poster mengandungi semua gambar calon yang bertanding bagi satu kerusi, larangan mengadakan rapat umum, larangan menggunakan slogan tertentu dan larangan bertanding secara berkumpulan," tambah mereka.

Penamaan calon

Selain itu, kata mereka, tempoh berkempen yang terlalu singkat telah mengakibatkan calon sukar memperkenalkan diri serta mewartakan manifesto kepada bakal pengundi secara menyeluruh.

"Di UIA, calon hanya diberikan masa sehari untuk berkempen selepas satu hari penamaan calon dan di ikuti dengan hari pengundian," tegas mereka lagi.

Berikutan itu, SMM, GAMP dan Jerit menggariskan beberapa tuntutan ke arah menjernihkan demokrasi di kampus bagi mengembalikan semula kredibiliti universiti di samping menegakkan dan mempertahankan keadilan dan prinsip demokrasi.

Sehubungan itu, mereka menggesa Kementerian Pengajian Tinggi menyiasat salahlaku yang melibatkan pihak berkuasa universiti sepanjang piliharaya kampus, dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri.

Mereka juga mahu kementerian mengkaji semula sistem pengurusan dan pelaksanaan pilihanraya agar ianya sejajar dengan prinsip demokrasi dan piawaian antarabangsa.

Pihak pentadbiran universiti pula, kata mereka, mestilah bekerjasama dengan kementerian berkenaan dalam siasatan tersebut di samping mengkaji semula pengurusan dan pelaksanaan pilihanraya bagi mengelak berulangnya sebarang penyelewengan pada masa depan.

Perwakilan pelajar

Di samping itu, mereka juga mahu supaya pemimpin mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar diberi ruang untuk bersuara dan mengemukakan pandangan samada melalui media dan sebagainya.

Manakala pihak media massa pula, kata mereka, hendaklah menghentikan segera tindakan melabelkan mahasiswa sama ada sebagai Pro-Aspirasi Kerajaan atapun Pro-Pembangkang.

Sebaliknya, mereka menggesa supaya berita dilaporkan dengan seimbang dan berasaskan fakta yang kukuh dan tepat berhubung isu-isu mahasiswa sama ada mengenai pilihanraya mahupun Majlis Perwakilan Pelajar.

Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pula, kata mereka hendaklah mengadakan dialog dengan mahasiswa mahasiswi untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

"Segala sekatan dan penindasan yang berlaku ini adalah berpunca daripada Auku yang menafikan hak dan kebebasan mahasiswa bersuara, berfikir, berkumpul dan berorganisasi. Sebaliknya, akta ini telah memperuntukkan kuasa yang tidak terhad kepada pihak berkuasa universiti untuk menentukan dan melaksanakan polisi kampus," tambah mereka.

Oleh itu, SMM, GAMP dan Jerit menggesa supaya Auku yang mendiskriminasikan hak mahasiswa mahasiswi dimansuh agar ruang demokrasi dapat dikembalikan dalam kampus.