Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

1MDB masih belum mengemukakan dokumen-dokumen tertentu yang diminta oleh Ketua Audit Negara untuk siasatannya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau mendedahkan bahawa dokumen-dokumen itu termasuk beberapa penyata bank syarikat dan perjanjian.

Menurutnya, Jabatan Audit Negara masih tidak mendapat kerjasama yang baik daripada 1MDB bagi mendapatkan dokumen untuk diaudit.

Berikutan itu, PAC menggesa pihak pengurusan 1MDB bekerjasama dengan jabatan tersebut dengan memberikan semua dokumen dan maklumat yang diminta, supaya ia boleh meneruskan audit dan menyiapkan laporan menjelang akhir tahun ini.

Nur Jazlan memberitahu pemberita demikian semasa waktu rehat mesyurat PAC hari ini di mana Ketua Audit Negara Ambrin Buang membentangkan penemuan awal jabatannya dalam auditnya ke atas akaun 1MDB.

Sesi itu dijangka berterusan sehingga lewat petang ini, dengan kemungkinan akan disambung esok jika lebih banyak masa diperlukan.  [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan 1MDB akan segera menghubungi Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan penjelasan berhubung dokumen yang dirujuk PAC bagi menyelesaikan audit yang dilakukan jabatan itu.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata, mereka mengambil maklum komen pengerusi PAC berhubung ketelitian siasatan Ketua Audit Negara, termasuk memeriksa dokumen yang diperoleh dari 1MDB dan pihak-pihak lain.

 

"1MDB mengesahkan bahawa semua dokumen dalam milikannya telah dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara.

"Oleh kerana laporan interim belum dikongsi dengan 1MDB, kami tidak dapat mengulas mengenai kenyataan pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa dokumen tertentu nampaknya belum dihantar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arul mengulangi komitmen 1MDB untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara dan semua pihak berkuasa yang sah yang sedang menyiasat 1MDB..

Lihat Komen
ADS